Khamis, 30 Oktober 2014

Cara Menjahit Mata Jahitan Asas

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Pada entri yang lepas, saya telah kongsikan tentang lapan jenis mata jahitan asas dan fungsinya. Hari ini, saya nak kongsikan pula bagaimana cara menjahit kesemua jenis mata jahitan asas tersebut.

#1  Jahitan Kia


#2  Jahitan Jelujur Halus


#3  Jahitan Sembat


#4  Jahitan Lilit Kemas


#5  Jahitan Lubang Butang


#6  Jahitan Silang Pangkah


#7  Jahitan Insang Pari


#8  Jahitan Sembat Susup

Baiklah, jenis-jenis mata jahitan asas, fungsi dan cara menjahitnya kita dah tahu. Sekarang, jom kita cuba buat sendiri sebagai latihan kemahiran diri. 

Langkah 1
Sediakan alatan dan bahan berikut:-

Alatan:

  • Pembaris lurus
  • Pita ukur
  • Kapur tukang jahit
  • Gunting kain
  • Jarum tangan
  • Jarum peniti

Bahan:

  • Kain kapas berukuran 15cm x 10cm - 8 keping
  • Benang 

Langkah 2
Masukkan benang berukuran 60cm hingga 70cm panjang ke dalam lubang jarum tangan. Gunakan hanya selembar benang sahaja untuk menjahit.


Langkah 3
Gunakan pita ukur, pembaris lurus dan kapur tukang jahit untuk membuat garisan pada kain kapas mengikut ukuran 15cm x 10cm.


Langkah 4
Gunakan gunting kain untuk menggunting kain kapas tersebut.


Langkah 5
Mulakan menjahit mata jahitan asas seperti langkah-langkah di atas.


Selamat mencuba...


Sumber: Buku Teks Kemahiran Hidup Tahun 5 Sekolah Kebangsaan




Ahad, 26 Oktober 2014

Mata Jahitan Asas

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Jahitan terbahagi kepada dua jenis. Jahitan tangan dan jahitan mesin. Walaupun sekarang kita sudah menggunakan mesin untuk menjahit, tetapi jahitan tangan masih lagi diperlukan. Antara kegunaan jahitan tangan adalah seperti untuk membaiki pakaian, memulakan proses jahitan dan membuat kemasan akhir. Terdapat lapan jenis mata jahitan asas untuk jahitan tangan.

#1  Jahitan kia
  • Memulakan dan mematikan jahitan tangan.
  • Melekatkan dua atau lebih lapisan fabrik.
  • Menjahit kelim yang meretas.
  • Boleh menggantikan jahitan mesin.


#2  Jahitan jelujur halus
  • Membaiki kelepet meretas.
  • Boleh menggantikan mata jahitan mesin.
  • Menjadi jahitan perhiasan pada artikel.


#3  Jahitan sembat
  • Menetapkan dan mengemaskan kelepet.
  • Mata jahitan ini boleh dilihat di sebelah luar fabrik.


#4  Jahitan lilit kemas
  • Mengemaskan guntingan tepi fabrik.
  • Mencantumkan dua keping fabrik.
  • Menjahit butang katup, cangkuk dan palang.


#5  Jahitan lubang butang
  • Jahitannya kukuh dan kemas.
  • Menjahit lubang butang, butang katup, cangkuk dan palang.


#6  Jahitan silang pangkah
  • Menjahit kelepet, lapik, mengemaskan pita zip dan sebagai jahitan hiasan.


#7  Jahitan insang pari
  • Mengemaskan tepi fabrik dan sebagai jahitan perhiasan untuk menjadi motif.
  • Mutu jahitannya boleh dilihat pada kedua-dua belah fabrik.


#8  Jahitan sembat susup
  • Menjahit dan mengemaskan kelepet.
  • Digunakan pada lipatan lengan baju, kelepet skirt serta blaus.


Sumber: Buku Teks Kemahiran Hidup Tahun 5 Sekolah Kebangsaan

Sabtu, 25 Oktober 2014

Azam 1436H

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

1 Muharram 1436H telah tiba. Salam Maal Hijrah...
Memandangkan kita telah memasuki bulan yang baru di tahun yang baru, marilah kita bersama-sama membina azam yang baru. Perkara yang lepas jadikan iktibar, kehidupan perlu diteruskan. Cuma, pastikan kehidupan yang akan diteruskan ini adalah lebih baik dari kehidupan yang lepas. Semoga azam kita pada tahun ini mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT jua, In Shaa Allah. Di dalam pertimbangan membina azam, pastikan kita tidak terlepas dari dua perkara ini.

Pertama, NIAT.
Sebagai umat Islam, "Sesungguhnya setiap amalan harus disertai dengan niat. Setiap orang hanya akan mendapatkan balasan tergantung pada niatnya. Barangsiapa yang hijrah kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana menginginkan perkara dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya (hanya) mendapatkan apa yang dia inginkan" [HR Bukhari]. Niat tersebut haruslah hanya kerana Allah SWT semata-mata sebagaimana ikrar kita kepada-Nya lima kali dalam sehari, "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah, Tuhan seluruh alam".

Kedua, STRATEGI/ PERANCANGAN.
Di dalam setiap tindakan, pastikan kita telah meletakkan strategi/ perancangan yang terbaik. Untuk keluarga kami, saya dan suami telah menyediakan pelan strategik 1436H-1440H agar kami sekeluarga mempunyai panduan di dalam mencapai visi dan misi dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah di muka bumi ini di dalam mencari keredhaan Allah SWT. Setiap ahli keluarga termasuk anak-anak perlu diberitahu apakah tanggungjawab dan peranan masing-masing supaya tidak ada yang tersasar dari matlamat. Apabila kita telah mempunyai perancangan jangka panjang, sebenarnya ia akan memudahkan kita untuk membuat perancangan jangka pendek seperti perancangan harian, mingguan, bulanan dan seterusnya tahunan.

Untuk mencapai pelan strategik 1436H-1440H tersebut, banyak perkara yang perlu saya perbaiki. In Shaa Allah saya berazam untuk perbaiki amalan harian terlebih dahulu melalui azam 1436H:-

#1  Mulakan hari seawal jam 4.00 pagi setiap hari

#2  Solat di awal waktu

#3  Laksanakan amalan solat sunat dan puasa sunat

#4  Amalkan bacaan al-ma'thurat di waktu pagi dan petang

#5  Khatam Al-Quran berserta tafsirannya

#6  Menutup aurat dengan sempurna

#7  Kemaskini blog setiap hari

#8  Fokus pada pelajaran anak-anak

Jumaat, 24 Oktober 2014

Kenali Penulis

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Nama diberi Nurul Nisa punya makna Cahaya Wanita. Dilahirkan pada 13 Mac 1978 di Hospital Universiti, Kuala Lumpur. Pastinya mak, Puan Fatimah binti Mohd Din dan abah, Encik Yahaya bin Ramli adalah orang yang paling bahagia saat itu kerana saya merupakan permata sulung hasil perkongsian hidup mereka. Saya dibesarkan di dalam kehidupan yang sederhana. Abah berkerja sebagai seorang buruh di sebuah kilang dan mak pula seorang surirumah yang mengambil tempahan jahitan bagi membantu menambah pendapatan abah di dalam membesarkan kami adik beradik. Saya mempunyai lima orang adik. Empat orang perempuan dan seorang lelaki. 

Saya telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Tadika KEMAS Kg. Sg. Kayu Ara ketika berusia enam tahun. Di situlah saya mula mengenali alam persekolahan dan belajar berkawan. Kemudian, enam tahun bersekolah rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan (2) Damansara Jaya, Petaling Jaya dan Sekolah Rendah Agama Kg. Sg. Kayu Ara. Hasil keputusan cemerlang pada peperiksaan sekolah rendah agama, saya diterima masuk ke Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin, Klang. Memandangkan jarak sekolah yang jauh dari rumah, maka saya ditempatkan di asrama. Di situ pula kehidupan saya sebagai pelajar bermula. Hidup berdikari dan berjauhan dari keluarga dari tingkatan satu sehingga selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Oleh kerana mendapat keputusan yang tidak memberansangkan dan tidak mendapat tawaran di mana-mana IPTA di dalam bidang yang saya minati iaitu perakaunan, saya nekad menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. Setelah tamat Diploma Perakaunan di Institut Bina Usahawan, kecoh ketika itu tentang lulusan kolej swasta yang tidak mendapat pengiktirafan kerajaan. Kerana risaukan lulusan kolej tersebut juga tidak mendapat pengiktirafan kerajaan, saya kemudian menyambung pelajaran lagi. Kali ini di dalam bidang perniagaan pula di Kolej Lagenda, Langkawi dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia. Tidak tahu di mana silapnya dan apa masalahnya dengan pengurusan pihak kolej ketika itu, kami kemudian dipindahkan ke Kolej Yayasan Melaka dan saya meneruskan pengajian di dalam bidang yang sama sehingga tamat pengajian dalam Diploma Pengurusan Teknologi.

Tamat sahaja pengajian pada akhir tahun 2002, keluarga meminta saya untuk turut menamatkan zaman bujang. Memandangkan ketika itu saya masih belum bekerja, segala persiapan perkahwinan saya ditanggung oleh keluarga. Maklumlah anak pertama. Nak dapat pula menantu pertama. Ketika itu saya berusia 24 tahun dan dinikahkan dengan suami pilihan hati, saudara Budiman bin Ruslan yang ketika itu berusia 26 tahun. Alhamdulillah berkat restu mak dan abah, hasil perkongsian hidup kami selama 12 tahun (dari 2002 hingga 2014), kami dikurniakan dengan empat orang cahaya mata. Tiga orang puteri dan seorang putera. Nur Fatin Naziehah berusia 11 tahun, Nur Farah Raihanah berusia 9 tahun, Nur Fahimah Maisarah berusia 7 tahun dan Ahmad Danish Shaddad berusia 2 tahun.

Bercerita tentang pengalaman kerja pula, setelah dua bulan melayari alam rumahtangga, saya masih tidak mendapat sebarang tawaran pekerjaan. Suatu hari saya dikejutkan dengan rezeki yang tidak disangka-sangka. Saya disahkan hamil! Alhamdulillah, syukur. Saat menerima berita gembira itu saya juga pasrah kerana yakin sukar untuk mendapatkan pekerjaan dalam keadaan berbadan dua. Namun disebabkan perasaan ingin bekerja dan kebosanan apabila tinggal di rumah, saya bekerja sebagai juruwang di Ikea, Damansara. Tempat kerja pun berdekatan sahaja dengan rumah. Sedar tidak sedar, dua tahun saya bekerja di Ikea. Bermula sebagai juruwang sehingga diberi kepercayaan untuk melakukan tugasan-tugasan 'back office'. Setiap hari mengira hasil jualan Ikea. Dua tahun bekerja, akhirnya saya berhenti. Berhijrah ke kampung halaman di Balik Pulau, Pulau Pinang. Mula menguruskan kedai runcit abah di kampung berbekalkan pengalaman berkerja di Ikea. Namun, dek kerana tak biasa dengan kehidupan di kampung, akhirnya kami pulang ke Kuala Lumpur semula. Saya bekerja pula sebagai Pembantu Ketua Juruwang di Metrojaya @ The Curve sambil mencari-cari kerja waktu pejabat memandangkan anak-anak akan bersekolah tidak lama lagi. Tiga tahun bekerja tidak menentu masa, akhirnya saya berjaya di dalam temuduga sebagai kerani di Bahagian Kewangan di Yayasan Waqaf Malaysia, Putrajaya. Sekian lama mengharapkan kerja waktu pejabat, akhirnya berjaya juga di saat anak sulung saya hampir memulakan sesi persekolahannya. Alhamdulillah. Segalanya adalah ketentuan Ilahi. Segalanya telah di atur oleh-Nya. Dapatlah saya menguruskan hal persekolahan anak-anak. Setiap pagi saya akan hantar anak-anak ke sekolah dan terus ke tempat kerja. Waktu makan tengahari pula saya akan keluar ambil anak-anak dari sekolah kebangsaan dan hantar terus ke sekolah agama. Saya juga turut makan tengahari di kantin sekolah bersama anak-anak. Di sebelah petang, selesai waktu berkerja dan anak-anak juga tamat sesi persekolahan, kami pun pulang ke rumah. Begitulah rutin harian selama hampir lima tahun saya berkerja. Bermula sebagai kerani dan dua tahun kemudian diberi kepercayaan untuk mengisi kekosongan jawatan sebagai Penolong Akauntan. Namun, lelah dengan rutin harian yang terkejar-kejar dan tanggungjawab terhadap keluarga yang kadang kala tidak tertunai, akhirnya pada 1 Julai 2014 saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dengan azam untuk memberi tumpuan sepenuh perhatian kepada keluarga terutamanya di dalam mengasuh dan mendidik anak-anak. Saya nekad untuk tidak mahu berkerja makan gaji lagi dan bercita-cita untuk menjadi SURIRUMAH PROFESIONAL dan USAHAWANITA BERJAYA!

Tapi, apa yang hendak saya usahakan jika saya duduk di rumah? Kepakaran pun tiada. Apa yang ada hanyalah minat. Saya sangat meminati seni jahitan. Segalanya bermula ketika menemani mak saya ke kelas menjahit ketika saya berusia lima tahun. Tapi sayang, saya tidak diberi kesempatan untuk bermain dengan benang dan jarum ketika itu. Kemudian, semasa di dalam darjah lima saya telah mengikuti Kelab Jahitan di sekolah. Seni jahitan yang saya belajar ketika itu ialah seni jahitan sulaman pangkah atau lebih dikenali sebagai 'cross stitch'. Disebabkan cross stitch sahaja yang sempat saya belajar, maka cross stitch sahajalah yang saya tahu buat bagi mengisi masa lapang saya. Itulah kali pertama dan terakhir saya belajar seni jahitan. Tiba-tiba semasa di tingkatan tiga, ada projek jahitan untuk pelajaran Kemahiran Hidup. Kami dikehendaki untuk menjahit beg serbaguna. Oh! Tidak. Dah la kena jahit guna mesin kaki. Tak pernah menjahit pulak tu. Tak tahu berapa banyak jarum yang patah, tapi beg saya yang paling cantik jahitannya. Itulah kali pertama dan terakhir saya menjahit sendiri. Sampailah saat apabila sudah berkerja dan ada duit sendiri, suatu hari saya dipertemukan dengan majalah CrossStitcher edisi UK yang berada di Popular Book Store. Dek kerana minat, setiap bulan saya pasti akan mendapatkan majalah tersebut. Kandungan setiap keluarannya memberi inspirasi kepada saya. Pelbagai projek menarik dan hadiah yang disertakan berjaya mencuri hati dan memaksa saya untuk membeli majalah tersebut. Dari situlah timbulnya minat untuk belajar seni jahitan yang lain pula seperti applique, quilting, patchwork, smocking dan banyak lagi. Saya yakin berbekalkan minat dan kesungguhan, In Shaa Allah saya akan jelmakan kepakaran saya suatu hari nanti. Segalanya memerlukan kesungguhan dan kegigihan. Saya tahu ada di antara sahabat di luar sana yang sama seperti saya. Meminati seni jahitan tetapi tidak pandai menjahit! Jangan lemahkan semangat anda! Setiap orang pasti berjaya andainya rajin berusaha. Jom ikuti perkongsian kembara ilmu saya di dalam bidang jahitan di Laman Apresiasi Seni Jahitan.

Doakan kejayaan saya di dalam menimba ilmu agar dapat mencurahkannya pula suatu hari nanti, In Shaa Allah...

Salam perkenalan...salam ukhuwah,
Nurul Nisa Yahaya