Jumaat, 21 November 2014

Pusat Latihan Kraftangan EPAL

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Cuti sekolah menjelang tiba. Bagi suri yang rutin hariannya menghantar dan menjemput anak2 ke sekolah pastinya cuti sekolah merupakan saat yang ditunggu-tunggu. Dapatlah merehatkan diri dari 'ribut taufan' di pagi hari buat seketika waktu. Begitu juga dengan saya memandangkan itu adalah rutin harian saya setelah bergelar suri rumah sepenuh masa beberapa bulan yang lalu. Ketika berkerja dahulu saya selalu berangan, "Seronoknya kalau masa cuti sekolah, aku pun cuti. Boleh pergi belajar menjahit." Kini, apa yang saya angankan sebelum ini akan saya jadikan kenyataan. Cuti sekolah kali ini saya akan manfaatkan sebaik mungkin untuk menyiapkan projek-projek jahitan sulaman di Pusat Latihan Kraftangan EPAL (EPAL) yang tergendala sekian bulan lamanya.


Sebenarnya dah lama mak mengajak saya belajar menjahit di EPAL. Tapi biasa la, bila dah tak minat macam-macam alasan saya bagi. Mesin jenama lain lebih baik la, bahan belajar mahal la, tak ada masa nak pergi la dan macam-macam lagi la. Akhirnya bila minat menjahit itu timbul kembali, EPAL yang menjadi pilihan hati saya. Hilang segala alasan-alasan dahulu. Betul lah kata pepatah, nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Berikut saya kongsikan sepuluh sebab kenapa saya memilih EPAL:-
  1. Saya dapat belajar pelbagai jenis kursus jahitan secara percuma selama setahun dengan setiap pembelian mesin jahit di EPAL. 
  2. Saya boleh membawa salah seorang daripada ahli keluarga saya untuk belajar menjahit bersama saya di EPAL secara percuma.
  3. Saya boleh pergi belajar di mana-mana cawangan EPAL di seluruh Malaysia.
  4. Saya boleh pergi ke kelas mengikut kesesuaian masa saya sendiri memandangkan EPAL beroperasi pada setiap hari kecuali cuti umum dari jam 10.00 pagi hingga jam 7.00 petang atau hingga jam 6.00 petang pada hari Ahad.
  5. Saya boleh menyertai kursus tambahan yang diadakan seperti belajar menggunakan tapak mesin, belajar menyelenggara mesin dan juga menyertai kursus keusahawanan menjual mesin secara percuma.
  6. Saya boleh menyertai pelbagai aktiviti menjahit yang dianjurkan oleh EPAL seperti pertandingan menjahit, cabutan bertuah, menjahit sambil beramal, menjahit bersama pakar dari luar negara dan banyak lagi.
  7. EPAL berpengalaman dalam bidang seni jahitan melebihi 10 tahun dan ia mempunyai tenaga pengajar yang mahir, terlatih dan berpengalaman.
  8. EPAL menyediakan e-store bagi kemudahan ahli VIP EPAL untuk mendapatkan barangannya yang asli.
  9. EPAL yang dimiliki oleh Mostwell Sdn Bhd merupakan agen tunggal mesin jahit Janome di Malaysia dan setiap ahli VIP EPAL juga boleh menjual mesin jahit tersebut dan berhak mendapat keuntungan daripada nilai mata (komisyen) bagi setiap mesin jahit yang dijual. 
  10. Hubungan antara EPAL dan Koperasi Dagang Seni Malaysia Berhad (KDSM). KDSM yang berada di bawah naungan Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang merupakan sebuah koperasi yang menggiatkan seni jahitan kreatif dan memberikan harapan kepada suri rumahtangga dan masyarakat dengan adanya sokongan padu dari EPAL. KDSM mewujudkan satu platform yang lebih besar untuk memasarkan produk seni jahitan serta kraftangan yang lebih kondusif, inovatif dan praktikal.

Apa yang lebih menarik lagi, saya telah mengikuti Program Home Based Business (HBB) yang telah diwujudkan oleh KDSM beberapa bulan sebelum saya meletakkan jawatan pada 1 Julai 2014 yang lalu. Program HBB ini dianjurkan dengan objektif seperti berikut:-

  • Mengubah minat atau hobi yang memberikan kepuasan kepada kerjaya yang menambahkan sumber pendapatan.
  • Melahirkan lebih ramai wanita yang berdikari dan produktif di Malaysia. Melalui kemahiran ini, mereka mampu untuk menjadi usahawan cemerlang, gemilang dan terbilang walaupun hanya di rumah namun mereka boleh meningkatkan kualiti hidup mereka.
  • Dengan kemahiran "Home Based" ini, wanita-wanita tidak perlu keluar bekerja malah mereka boleh menjana pendapatan sambil menguruskan rumahtangga dan anak-anak terutamanya para ibu tunggal. Bagi anak-anak yatim atau mereka yang kehilangan bapa akibat perceraian, kasih sayang dan perhatian ibu adalah faktor utama yang diperlukan untuk memastikan kejayaan mereka cemerlang hingga akhir hayat. Tindakan ini secara tidak langsung akan mengurangkan gejala sosial di kalangan remaja kini yang semakin meningkat.
  • Kursus yang dianjurkan adalah berasaskan keperluan dan permintaan masyarakat zaman kini yang semakin meningkat. Kemahiran ini adalah lebih berdaya saing bagi memenuhi permintaan industri.
  • Membantu wanita agar berfikiran positif untuk menjana ekonomi keluarga melalui kemahiran yang diberikan.
  • Menyebarkan ilmu seni jahitan kreatif dan memajukan seni jahitan di kalangan masyarakat.

Berbekalkan RM10,000 pinjaman dari TEKUN bagi program ini, saya telah diberikan sebuah mesin jahit sulam Janome model MC350E dan bahan-bahan untuk 15 projek jahitan sulaman untuk dipelajari.

#01  Bahan Workshop AKU I-III
#02  Bahan Syiling Pouch
#03  Bahan Tisu Pouch
#04  Bahan Tisu Box Cover
#05  Bahan Book Cover
#06  Bahan Pencil Box
#07  Bahan Name Tag
#08  Bahan Beg Tote (Hiasan dengan bunga 3D & stabilizer kecut)
#09  Bahan Sarung Bantal (Hiasan corak jahitan)
#10  Bahan Kursus Tuala + Sulaman
#11  Bahan Kursus Telekung + Sulaman
#12  Bahan Zipper Sejadah
#13  Bahan Kursus Baju Kurung + Sulaman Tengkuk Leher + Kerawang
#14  Bahan Kursus Baju Kebaya Nyonya + Sulaman
#15  Bahan Baju Melayu

Ha itulah dia 15 projek yang saya nak siapkan sepanjang cuti sekolah ni. Ada hati nak siapkan semua tu sedangkan menjahit pun tak tahu. Tak mengapa, yang penting semangat kena kuat! In Shaa Allah, dengan adanya cikgu-cikgu yang hebat di EPAL saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyiapkan semua projek tersebut. Nantikan perkongsian hasilnya di Laman Apresiasi Seni Jahitan ye. Satu lagi perkara yang paling menggembirakan saya ialah EPAL kini telah membuka cawangan barunya di Bangi dan ini akan memudahkan saya untuk pergi ke kelas setiap hari selepas menghantar anak-anak ke sekolah di Putrajaya memandangkan lokasinya yang berdekatan berbanding di Puchong sebelum ini. Kini, EPAL di hatiku!

Di sinilah tempat saya akan menimba ilmu

Mesin idaman hati



Selasa, 18 November 2014

Cara Menjahit Untuk Baiki Pakaian Sendiri

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Hari ini saya ingin kongsikan cara bagaimana hendak menjahit kancing yang tertanggal dan kelim atau kelepet yang meretas. Pada saya, ini adalah kemahiran asas yang semua orang perlu tahu tidak kira samada dia seorang lelaki atau perempuan. Ini kerana pakaian merupakan keperluan asas yang semua orang perlukan dalam menjalani kehidupan seharian. Itulah sebabnya kenapa setiap orang wajib memiliki kotak jahitan! Jadi jika anda sedang mencari bagaimanakah cara untuk baiki pakaian anda sendiri, bolehlah manfaatkan perkongsian saya ini

Menjahit kancing yang tertanggal
Sebelum kita menjahit, jom kita kenali dahulu apa itu kancing dan jenis-jenisnya. Kancing merupakan bahan yang digunakan untuk merapatkan belah pada pakaian dan dijahit pada dua lapisan fabrik. Tiga jenis kancing yang biasa digunakan dan wajib ada di dalam kotak jahitan anda adalah butang, butang katup, cangkuk dan palang. Jenis mata jahitan asas untuk menjahit kancing ialah jahitan lilit kemas.



Langkah-langkah menjahit butang yang tertanggal

#1  Tandakan bahagian butang yang tertanggal pada pakaian.


#2  Mulakan menjahit dengan jahitan kia pada tapak butang yang tertanggal.

#3  Masukkan jarum melalui satu daripada lubang butang.

#4  Letakkan jarum peniti di antara dua lubang butang tersebut. Tujuannya adalah untuk memberi kelonggaran pada butang ketika hendak memasukkan butang tersebut ke lubang butang.


#5  Masukkan jarum menembusi belakang fabrik. Ulang jahitan sehingga kukuh.

#6 Cabut jarum peniti. Keluarkan jarum di antara fabrik dengan butang. Lilit benang di keliling tangkai yang dibentuk.


#7  Keluarkan jarum ke sebelah dalam fabrik.

#8  Matikan jahitan dengan jahitan kia sebanyak dua kali.


Langkah-langkah menjahit butang katup yang tertanggal

#1  Tandakan dengan kapur tukang jahit pada bahagian pakaian yang hendak dibaiki.


#2  Letakkan soket atau conet yang tertanggal pada bahagian yang ditanda.


#3  Mulakan dengan jahitan kia.

#4  Cucuk jarum pada satu daripada lubang soket atau conet.

#5  Jahit jahitan lilit kemas sebanyak empat hingga lima kali.

#6  Susupkan jarum ke lubang soket atau conet yang kedua. Ulang proses sehingga siap.

#7  Matikan dengan jahitan kia.


Langkah-langkah menjahit cangkuk dan palang yang tertanggal

#1  Tandakan bahagian cangkuk atau palang yang tertanggal.

#2  Mulakan jahitan dengan jahitan kia.

#3  Cucuk jarum pada satu daripada lubang cangkuk atau palang.

#4  Jahit jahitan lilit kemas.


#5  Susup jarum ke lubang cangkuk atau palang yang kedua dan ulangi proses hingga siap. Untuk cangkuk anda perlu susupkan jarum ke lubang cangkuk yang ketiga dan ulangi proses hingga siap.

#6  Matikan jahitan dengan jahitan kia.


Menjahit kelim yang meretas
Apa itu kelim? Kelim ialah cantuman dua atau lebih kepingan fabrik yang dijahit dengan jahitan tangan atau mesin. Kelim boleh memberi bentuk kepada pakaian dan boleh digunakan sebagai hiasan. Kelim biasanya terdapat di bahagian bahu, rusuk dan tepi seluar atau sarung. Jenis mata jahitan yang digunakan untuk menjahit kelim yang meretas ialah jahitan kia atau jahitan jelujur halus.

Langkah-langkah menjahit kelim yang meretas

#1  Kenal pasti bahagian yang meretas pada pakaian.


#2  Tarik keluar kedua-dua benang di bahagian yang meretas lebih kurang 5 cm hingga 6 cm.


#3  Susup benang asal di antara mata jahitan asal.


#4  Jahit kelim yang meretas dengan jahitan kia atau jahitan jelujur halus. Mulakan dan matikan jahitan 2 mm hingga 3 mm di atas jahitan asal.



Menjahit kelepet yang meretas
Apa itu kelepet? Kelepet ialah lipatan pada hujung pakaian sebagai penyudah tepi. Kelepet biasanya terdapat di hujung kaki seluar, hujung lengan baju dan bahagian bawah pakaian. Jenis mata jahitan yang digunakan untuk menjahit kelepet yang meretas ialah jahitan sembat atau jahitan silang pangkah.

Langkah-langkah menjahit kelepet yang meretas

#1  Kenal pasti bahagian kelepet yang meretas.


#2  Tanggalkan benang asal sepanjang 5 cm atau 6 cm dan matikan dengan jahitan kia.


#3  Mulakan jahitan sembat atau jahitan silang pangkah dengan jarak 2 mm hingga 3 mm di atas jahitan asal.



#4  Matikan jahitan dengan jarak 2 mm hingga 3 mm di atas jahitan asal.

Semoga perkongsian ini dapat memberi panduan kepada anda. Kini anda boleh baiki pakaian anda sendiri. Selamat mencuba!


Sumber: Buku Teks Kemahiran Hidup Tahun 5 Sekolah Kebangsaan

Jumaat, 14 November 2014

Mari Belajar Asas Jahitan Tangan

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Sudahkah anda memiliki kotak jahitan berserta alatan dan bahan di dalamnya seperti yang telah saya kongsikan pada entri yang lepas? Jika sudah, jom kita mulakan aktiviti jahitan kita. Berikut adalah perkara asas di dalam aktiviti jahitan tangan yang wajib kita tahu. Ambil jarum dan benang terlebih dahulu! Gunting benang lebih kurang 18 inci panjang (jika untuk jahitan selembar benang) atau dua kali ganda panjang (jika untuk jahitan dua lembar benang). Kebiasaannya kita menjahit menggunakan selembar benang sahaja. Jahitan dua lembar benang bertujuan untuk menjadikan jahitan lebih kuat atau untuk menjadikan jahitan tersebut kelihatan di atas fabrik. Kenapa mesti 18 inci panjang? Kerana ia adalah panjang yang sesuai untuk memudahkan aktiviti jahitan tangan dilakukan supaya benang tersebut tidak kusut dan berbelit ketika menjahit. Jika anda tiada pembaris untuk mengukur, tidak mengapa. Ukur dari hujung jari tengah anda hingga ke paras siku. Panjangnya lebih kurang 18 inci.


Bagaimana hendak memasukkan benang ke lubang jarum?
Ambil benang yang telah digunting tadi dan masukkan ke lubang jarum. Anda mungkin merasa sukar untuk memasukkan benang tersebut ke lubang jarum memandangkan lubang jarum itu sangat halus. Jika telah mencuba berkali-kali tetapi masih juga tidak berjaya, jangan berputus asa. Gunting hujung benang yang telah mengembang atau berjurai itu dan cuba masukkan lagi sehingga berjaya. Berikut saya kongsikan beberapa tips yang boleh membantu anda:-
  • pegang jarum di hadapan sesuatu yang berwarna putih untuk memudahkan anda melihat lubang jarum; atau
  • basahkan lubang jarum dengan membasahkan jari anda terlebih dahulu, kemudian basahkan lubang jarum untuk membantu melekatkan benang ke lubang jarum. Jangan basahkan lubang jarum dengan memasukkan jarum ke dalam mulut anda!; atau
  • basahkan hujung benang, kemudian masukkan benang yang telah dibasahkan ke lubang jarum; atau
  • gunakan mata nenek (needle threader). Ini adalah kaedah yang paling mudah dan cepat.

Bagaimana hendak membuat simpulan mati pada benang?
Setelah benang berjaya dimasukkan ke lubang jarum, hujung benang tersebut mesti diikat simpul mati agar jahitan tidak terbuka setelah dijahit. Untuk jahitan selembar benang, setelah benang dimasukkan ke lubang jarum, tarik satu bahagian benang tersebut sepanjang 1/3 daripada panjang benang tadi dan ikat simpul mati di hujung bahagian benang yang 2/3 panjang. Manakala untuk jahitan dua lembar benang pula, setelah benang dimasukkan ke lubang jarum, jadikan kedua-dua bahagian benang tersebut sama panjang dan ikat simpul mati di hujung benang tersebut. Terdapat dua cara untuk membuat simpulan mati pada benang:-

Cara 1
Buatkan bentuk bulatan, masukkan hujung benang yang terkeluar melalui bulatan tadi dan tarik hujung benang tersebut sehingga menjadi simpulan mati.




Cara 2
Ambil hujung benang dan lilitkan antara tiga hingga lima lilitan di hujung jarum. Pastikan lilitan tersebut tidak terlalu ketat. Sambil memicit lilitan tadi (jangan terlalu kuat supaya lilitan tersebut boleh melepasi lubang jarum), tarik jarum ke atas sambil menarik lilitan tersebut ke bawah hingga ke hujung benang sehingga menjadi simpulan mati.




Bagaimana hendak menyembunyikan simpulan benang pada fabrik?
Pastikan apabila kita memulakan jahitan, simpulan mati pada benang disembunyikan di sebalik lipatan fabrik di hujung permulaan jahitan.


Sekarang, anda telah boleh mulakan aktiviti jahitan anda! Selamat menjahit.

Sabtu, 1 November 2014

Kotak Jahitan Yang Wajib Anda Miliki

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Untuk memulakan aktiviti jahitan tangan, alatan dan bahannya perlu disediakan terlebih dahulu. Sebagai permulaan cukuplah dengan menyediakan alatan dan bahan asas yang sekurang-kurangnya dapat digunakan untuk menjahit kancing yang tertanggal atau kelim dan kelepet yang meretas. Kebiasaannya alatan dan bahan ini diletakkan di dalam sebuah bekas yang cantik seperti kotak, tin atau botol. Saya suka panggil kotak jahitan walaupun alatan dan bahan itu saya letakkan di dalam tin 'Famous Amos Cookies'. Tak kira la dalam bekas apa pun anda nak simpan, yang penting alatan dan bahan ini wajib anda miliki dan disimpan di dalam bekas yang mudah untuk dibawa ke mana-mana untuk kegunaan di saat kecemasan. Alatan dan bahan tersebut boleh dibeli di dalam set yang telah dipekkan atau boleh juga dibeli berasingan. Saya lebih suka beli berasingan kerana saya boleh memilih alatan dan bahan yang berkualiti dan tahan berbanding yang telah dipekkan. Walaupun murah tetapi kebiasaannya alatan dan bahannya tidak tahan lama dan mudah rosak. Sekiranya anda hendak mendapatkan alatan dan bahan tersebut, pastikan anda membawa bersama senarai di bawah. Jangan lupa, dapatkan sekali bekas yang cantik untuk menyimpan alatan dan bahan anda.

Alatan

#1  Jarum jahit tangan

#2  Jarum peniti

#3  Gunting pemotong benang

#4  Penetas benang

#5  Pita ukur

#6  Kapur tukang jahit

#7  Mata nenek

#8  Jidal

Bahan

#9  Benang

#10  Kancing
        - Butang
        - Butang katup
        - Cangkuk dan palang