Selasa, 23 Disember 2014

Kenapa Baju Sulam Mahal Harganya?

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Hari Ke-10 @ EPAL Bangi, 18 Disember 2014, 1.00tgh - 6.00ptg

Hari ini saya bersemangat ke kelas dengan rancangan untuk menyiapkan sulaman di hujung tangan baju kurung yang tidak dapat saya sudahkan semalam. Sasaran saya, saya dapat menyiapkan sulaman untuk kedua-dua belah hujung tangan tersebut pada hari ini. Rupanya saya silap. Dalam fikiran nampak kerjanya seperti mudah. Tetapi bila sudah menghadapinya baru saya tahu, rumitnya kerja-kerja menyulam ini walaupun dengan adanya bantuan mesin. Barulah saya tahu kenapa baju sulam mahal harganya. Pertama, mahal kerana kesabaran yang dizahirkan. Kedua, mahal kerana masa yang diluangkan. Dan ketiga, mahal kerana ketekunan yang diperuntukkan. Lebih teliti dan lebih kemas sesuatu hasil sulaman itu maka lebih mahallah harga jualannya. Sebagai contoh, sulaman di hujung tangan baju saya. Sekali sulam saya dapat menyiapkan empat biku dengan dua puluh kuntum bunga kecil yang menjalar berserta outline bagi bunga-bunga tersebut. Masa yang diperlukan untuk menyiapkannya adalah dua puluh lima minit. Untuk menyiapkan sulaman sebelah tangan baju sahaja, mesin mengambil masa lebih kurang satu jam. Itu belum mengambil kira masa yang saya luangkan untuk mencari starting point bagi menyambung sulaman seterusnya. Masa yang diluangkan untuk menjaga benang. Walaupun mesin boleh ditinggalkan dan saya boleh melakukan kerja lain di samping itu namun sesekali saya perlu juga untuk melihat artikel yang sedang disulam. Jika benang atas menjadi tegang ia akan menyebabkan benang bawah timbul di permukaan atas artikel yang disulam. Jika artikel menggunakan pelbagai warna yang berlainan, masa juga perlu diluangkan untuk menukar benang dari satu warna kepada warna yang lain. Selesai menyulam, buang dan bersihkan stabilizer dan juga benang-benang pada artikel sulaman. Kemudian buat kemasan tepi sulaman menggunakan hot wire cutter. Segalanya memerlukan masa untuk diluangkan dan juga ketekunan serta kesabaran yang tinggi. Akhirnya hari ini saya cuma dapat siapkan sebelah tangan sahaja. Ia sangat meletihkan lebih-lebih lagi ini adalah pengalaman pertama saya menyulam pakaian sendiri tetapi apabila melihat hasilnya, ia sangat memuaskan hati.

Seronoknya Menjahit Baju Kurung

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Hari Ke-9 @ EPAL Bangi, 17 Disember 2014, 1.00tgh - 7.00ptg

Tak sabar nak ke EPAL hari ni setelah dua hari bercuti. Bersemangat nak menjahit baju kurung. Persediaan sebelum menjahit semua dah disiapkan pada hari Jumaat yang lepas. Jadi matlamat hari ni nak belajar menjahit bersungguh-sungguh. Sampai, siap sediakan mesin dan meja, makan dan solat. Dah bersedia, panggil cikgu. Hari ni kita nak buat apa Cikgu Nadia ye? Mula-mula sulam bahagian leher dulu. Sebelum mula menyulam, cikgu suruh saya lipat kain bahagian badan tu kepada empat bahagian dan gosok untuk dapatkan tanda bahu dan tanda tengah leher. Kemudian pasangkan pada ram dan mulakan sulaman. Siap sulaman, tanggalkan daripada ram dan koyakkan stabilizer. Buang sehingga bersih. Selesai, cikgu suruh sambung pesak dengan kekek. Lepas tu sambungkan pula bahagian tangan pada pesak dan kekek yang telah disambungkan tadi. Ha ini baru proses menjahit bermula. Tak tahu nak cerita macam mana tapi yang pastinya seronok bila tengok pesak, kekek dan tangan dah bercantum. Walaupun beberapa kali perlu ditetas dan dijahit semula tapi bila dah siap gosok dan tengok hasilnya kemas, rasa seronok dan tak sangka yang saya sudah boleh menjahit. Rasa macam tak sabar nak sambung pada bahagian badan pula. Tapi cikgu cakap, sebelum sambung bahagian badan kita sulam tangan dulu. Yang tu saya sambung esok ye cikgu. 

Isnin, 22 Disember 2014

Kelas Teknik Sulaman Bahagian 1

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Hari Ke-8 @ EPAL Bangi, 14 Disember 2014, 10.30pg - 6.00ptg

Hari ni ada kelas teknik sulaman. Diajar oleh cikgu Nurul Syamiza. Panggil cikgu Miza sebab ramai sangat nama Nurul kat EPAL tu termasuklah saya. Ada 17 teknik sulaman yang akan diajar tapi hari ini cikgu sempat ajar tiga teknik sahaja. Sebelum mulakan kelas, cikgu ajar dulu macammana nak ketatkan ram dengan menggunakan magic stop supaya kain dapat ditegangkan dan tidak beralih ketika menyulam. In Shaa Allah ada kesempatan nanti saya masukkan gambar. Tiga teknik yang sempat saya belajar hari ini ialah teknik lace, teknik 3D dan teknik 3D organza. Untuk belajar ketiga-tiga teknik ini, saya telah menggunakan tiga alatan dan bahan yang tidak pernah saya gunakan sebelum ini iaitu water soluble stabilizer - fabric type, water soluble stabilizer - sponge type dan hot wire cutter. Seronok dapat belajar benda baru.

#1  Teknik Lace

      Bahan-bahan:

  1. Water soluble stabilizer - fabric type
  2. Benang bawah dan benang atas = benang sama warna

      Cara-cara:

  1. Letakkan water soluble stabilizer - fabric type pada ram
  2. Mulakan sulaman
  3. Selesai menyulam, tanggalkan hasil sulaman dari ram 
  4. Gunting keliling hasil sulaman
  5. Rendam hasil sulaman semalaman supaya lace tersebut menjadi lembut
  6. Angkat dan jemur  

#2  Teknik 3D

      Bahan-bahan:

  1. Water soluble stabilizer - sponge type
  2. Tear away stabilizer
  3. Benang bawah = benang putih
  4. Benang atas = benang warna
  5. Kain

      Cara-cara:

  1. Letakkan kain pada ram
  2. Selitkan tear away stabilizer di bawah kain
  3. Letakkan water soluble stabilizer - sponge type di tempat sulaman yang hendak kelihatan 3D, contohnya pada bahagian bunga
  4. Mulakan sulaman
  5. Selesai menyulam, tanggalkan hasil sulaman daripada ram
  6. Tanggalkan tear away stabilizer di bawah kain tadi
  7. Rendam hasil sulaman semalaman supaya hasil sulaman tersebut menjadi lembut
  8. Angkat dan jemur
  9. Hasilnya, water soluble stabilizer - sponge type itu akan hilang dan bunga tersebut kelihatan timbul

#3  Teknik 3D Organza

      Bahan-bahan:

  1. Benang bawah dan benang atas = benang sama warna
  2. Kain organza
    
      Cara-cara:

  1. Lipat kain organza menjadi dua lapisan dan letakkan pada ram
  2. Mulakan sulaman
  3. Selesai menyulam, tanggalkan hasil sulaman dari ram
  4. Gunting keliling hasil sulaman
  5. Buat kemasan keliling hasil sulaman dengan menggunakan hot wire cutter

Selasa, 16 Disember 2014

Persediaan Sebelum Menjahit Baju Kurung

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Hari Ke-7 @ EPAL Bangi, 12 Disember 2014, 10.30pg - 6.00ptg

Hari ni selepas hantar kakak ke kelas tambahan saya terus ke EPAL Bangi. Jam 9.30 pagi saya dah masuk kelas letak barang kat meja. Cikgu-cikgu sedang mendengar taklimat ringkas dari ketua mereka, Puan Ailie. Pagi ni jam 10.30 ada sesi taklimat promosi mesin jahit Janome Horizon Memory Craft 8900QCP. Saya telah dijemput untuk mengikuti sesi taklimat tersebut. Sementara menunggu sesi tersebut bermula, saya pergi sarapan dulu kat kedai Asam Pedas berhampiran dengan EPAL. Masa saya sampai dalam jam 10.00 tu lauk makan tengahari dah terhidang. Apa lagi, makan tengahari teruslah. Nanti dah menjahit tak ingat nak makan dah. Memang sedap masak asam pedas dia. Saya makan asam pedas ikan pari dan sayur pucuk manis masak lemak tapi saya ambil sayur aje. Makan pulak dengan sambal tempoyak. Terbaik. Memang kenyang sampai ke petang. Siap tapau masak kicap untuk kakak sekali. Jam 10.30 pagi sampai 12.00 tengahari saya ikuti sesi taklimat tu. Dia siap demo sekali fungsi-fungsi mesin tu. Bila tengok tu memang rasa macam nak belilah. Mana taknya, dengan mesin tu ia memudahkan banyak kerja berbanding mesin yang saya berhajat nak beli sebelum ni. Mulalah hati berbelah bahagi. Takpe, kita mintak petunjuk dari Allah dulu ye. Istikharah dulu. Tamat sesi taklimat tu saya terus pergi jemput kakak dari kelas tambahannya dan bawa dia ke EPAL. 

Sampai EPAL dah jam 1.00 tengahari. Lupakan pasal mesin pagi tadi untuk seketika waktu. Sekarang saya nak mulakan projek kursus baju kurung + sulaman + kerawang. Sebelum menjahit baju kurung, ada beberapa persediaan yang perlu saya buat terlebih dahulu.

Pertama dan yang paling penting
Mengambil ukuran:
a) Bahu
b) Labuh tangan
c) Pergelangan tangan
d) Ketiak
e) Keliling leher
f) Dada
g) Keliling pinggang
h) Keliling punggung
i) Labuh baju
j) Labuh kain
* sediakan pita ukur

Kedua
Merajah pola (baju sahaja):
a) Lukis pola bahagian badan, bahagian tangan, bahagian pesak dan kekek
b) Gunting pola
c) Tandakan simbol pada pola untuk kemudahan semasa menggunting kain nanti
    - tandakan basi 1/2 inci pada semua bahagian kecuali bahagian untuk disulam, 2 inci
    - tandakan lipatan kain
    - tandakan ira kain
* sediakan kertas minyak, pita ukur, pembaris lurus, pensil, pemadam dan gunting kertas

Ketiga
Menggunting baju:
a) Gosok kain terlebih dahulu
b) Bentang kain dan dapatkan ira kain
c) Letakkan kertas pola pada kain dan pin (Rujuk tanda lipatan dan ira kain pada kertas pola)
d) Tandakan basi pada kain (Rujuk pada kertas pola)
e) Gunting kain pada basi yang telah ditanda
f) Tandakan ukuran mengikut kertas pola pada kain di bahagian hadapan dan belakang
* sediakan kain, kertas pola, jarum peniti, kapur jahit, pembaris lurus, gunting kain, roda surih dan tracing paper

Menggunting kain:
a) Untuk panjang kain, dapatkan ukuran keliling punggung
b) Tambahkan 21" untuk lipatan kipas kain, 3" untuk kelonggaran dan 2" untuk basi
c) Bahagikan ukuran yang telah ditambah tadi kepada 2
d) Lipat kain kepada dua bahagian mengikut ukuran yang telah dibahagi tadi
e) Untuk labuh kain, dapatkan ukuran labuh kain
f) Tambahkan 1" untuk basi. 1/2" basi atas dan 1/2" basi bawah
g) Gunting kain mengikut ukuran yang telah ditandakan
* sediakan kain, pita ukur, pembaris lurus, kapur jahit dan gunting kain

Keempat
Menjahit tepi kain

Isnin, 15 Disember 2014

Jenis Kain Mengikut Cara Pembuatannya

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Pernah tak anda terfikir, bagaimanakah cara membuat kain? Tahukah anda pilihan kain yang salah akan memberi kesan ke atas hasil jahitan anda? Untuk itu, anda perlu tahu terlebih dahulu jenis sesuatu kain sebelum membelinya mengikut kesesuaian projek yang ingin anda siapkan. Untuk pengetahuan anda, kain dibuat melalui salah satu daripada tiga cara berikut. Samada secara woven, knit atau bonded. Saya pun tak pasti istilahnya dalam Bahasa Malaysia. Tapi, kain woven dan knit adalah jenis kain yang paling biasa ditemui. Sebagai contoh, kain kapas. Kain kapas boleh ditemui samada dalam jenis woven atau knit. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, biarlah gambar yang berbicara. Gambar tersebut menerangkan dua cara kain dibuat iaitu secara woven dan knit.

Woven Fabrics



Knit Fabrics


Berikut saya kongsikan macammana cara anda nak tahu samada kain itu adalah jenis woven atau knit.

1) Cuba regangkan kain
    Woven fabrics tidak meregang tetapi knit fabrics akan meregang.


2) Cuba kedutkan kain
    Woven fabrics akan berkedut tetapi knit fabrics tidak berkedut





Khamis, 11 Disember 2014

Kakak Mula Meminati Jahitan

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Hari Ke-6 @ EPAL Bangi, 10 Disember 2014, 1.00tgh - 5.00ptg

Hari ni pergi ke EPAL Bangi dengan satu tujuan. Nak sambung siapkan projek 'Giant Backpack' yang tak sempat siap tempoh hari. Sampai jam satu tengahari, terus cari Cikgu Anie. Punya bersemangat nak siapkan projek tu. Tak sabar nak tengok beg yang besar tu. Macam manalah rupa dia. Hari Ahad hari tu kan dah potong kemeja ikut kelebaran 7", 9", 11" dan 13". Cantumkan hingga panjang bagi setiap kelebaran menjadi 220". Kemudian cantumkan pula kain-kain yang dah dijahit tu menjadi empat segi besar. Siap dicantum, cikgu Anie gunting semula kain tu ikut kelebaran yang sama seperti di atas. Jadi hari ni tugas kami ialah cantum semula kain yang telah digunting oleh cikgu Anie tempoh hari untuk dijadikan empat segi besar bersaiz 35" x 220". Mula-mula tu rasa macam pelik juga kenapa lah dah dicantum, digunting pula. Lepas tu nak cantum semula. Macam buang masa aje. Tapi bila dah siap, baru saya faham. Kain tu nampak lebih cantik sesudah digunting dan dicantumkan semula. Ia menghasilkan cantuman yang kelihatan lebih kecil dan corak yang lebih menarik. Inilah yang dipanggil teknik patchwork. Cikgu Anie cakap, setiap 16 cawangan EPAL dan Ibu Pejabat EPAL akan siapkan patchwork bersaiz 35" x 220" ni. Kemudian mereka akan cantumkan dan jadikan 'Giant Backpack' yang boleh memuatkan 15 orang dewasa untuk mencipta rekod dunia dan akan diletakkan di galeri atau muzium mereka. Dah siap, puas hati tapi boleh tahan juga lenguh pinggangnya walaupun jahit lurus aje.

Anak saya si kakak, dah empat kali ikut saya ke kelas. Dia ada kelas tambahan untuk persediaan UPSR dan PSRA tahun hadapan. Tamat kelas tambahan, saya jemput dia dan terus ke kelas EPAL. Hari ni dia tengok saya jahit lurus je, tiba-tiba dia nak cuba. Dia cakap macam senang je. Saya bagi dia cuba jahit, dia rasa seronok. Dia tak sabar pula nak balik rumah, nak belajar jahit guna kain-kain perca kat rumah. Teringat masa saya kecil dulu teman mak ke kelas menjahit. Tapi masa tu mak tak bagi saya peluang menjahit. In Shaa Allah, kalau ada rezeki saya nak belikan mesin ni untuk anak-anak belajar menjahit. Comel kan? Yang penting keutamaan ciri-ciri keselamatannya. Sesuai untuk kanak-kanak.

Janome Sew Mini

Rabu, 10 Disember 2014

Mak Penggerak Semangat Saya Meminati Jahitan

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Hari Ke-5 @ EPAL Bangi, 9 Disember 2014, 1.00tgh - 6.00ptg

Semalam saya tak ke kelas sebab nak meluangkan masa bersama dengan mak sebelum mak pulang ke kampung setelah tiga minggu berada di rumah saya. Sedihnya rasa. Seronok bila mak ada kat rumah. Banyak ilmu jahitan boleh ditimba. Balik dari kelas EPAL biasanya mak mesti tanya, "Hari ni dapat siapkan projek apa?" Seronok bila dapat tunjukkan pada mak hasil kerja tangan saya. Sebelum ni mak selalu cakap takde sorang pun anak mak yang minat menjahit, tapi sekarang saya dah buktikan yang saya akan menyambung warisannya. Sekurang-kurangnya dapatlah saya menggantikan mak untuk jahitkan baju adik-adik dan anak-anak buah saya selain menjahit baju untuk keluarga saya sendiri. Emmm, rindu kat mak.

Hari ni kat kelas saya siapkan projek tissue box cover yang tak sempat saya siapkan minggu lepas. Untuk projek ni saya kena buat tali daripada kain yang sama dengan kain tissue box cover tu. Nak buat tali tu cikgu Ivy ajar guna loop turner. Ya Allah, susahnya nak guna loop turner tu. Dua tiga kali panggil cikgu Ivy mintak tolong tunjukkan. Cikgu pun sabar aje tolong ajarkan. Kali keempat cuba, Alhamdulillah jadi pun. Senang je sebenarnya guna loop turner tu. Tangan ni kena lembutkan sikit. Seronok rasanya dapat ilmu baru. Rasanya dulu pernah tengok mak buat tali macam ni, tapi guna pin. Sekarang ni senang. Dah ada alat yang mudah untuk digunakan. Lepas siap projek ni, saya buat projek pencil box pula. Tapi saya cuma sempat siapkan sulamannya sahaja. Ingat nak siapkan hari ni tapi cikgu Nadia macam ingat-ingat lupa cara nak sambungkan telinga panda tu. Untuk projek pencil box ni tiada langkah-langkah disediakan macam projek tissue box cover tu. Kalau ada, senang nak buat rujukan. Jadi saya ada dua projek yang di Keep In View (KIV). Projek Book Cover dan Projek Pencil Box.

Selasa, 9 Disember 2014

Projek 'Giant Backpack' Bersama EPAL

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Hari Ke-4 @ EPAL Bangi, 7 Disember 2014, 10.30pg - 4.30ptg

Hari ni hari Ahad. Kalau ikutkan, hari Sabtu dan Ahad adalah hari bersama keluarga. Tapi disebabkan cikgu dah pelawa untuk turut serta beramai-ramai menyiapkan projek "Giant Backpack" di EPAL Bangi dari hari Jumaat hari tu lagi, teringin pula nak turut serta. Saya pun tak pernah turut serta dalam aktiviti-aktiviti macam ni sebelum ni. Macam seronok je. Memandangkan sekarang pun sekolah masih bercuti, saya pun korbankanlah sedikit masa untuk bersama dalam menjayakan aktiviti ni. Dapat juga mengeratkan silaturrahim bersama ahli VIP yang lain.

Syarat untuk sertai aktiviti ni mudah sahaja. Setiap ahli VIP dikehendaki membawa dua helai kemeja. Itu sahaja. Alatan dan bahan lain disediakan oleh pihak EPAL. Aktiviti untuk hari ni, potong kemeja-kemeja yang telah dikumpulkan mengikut kelebaran 7", 9", 11", dan 13". Kemudian, cantumkan kemeja-kemeja yang telah dipotong tadi mengikut kelebarannya menjadikan panjangnya sehingga 220". Aktiviti yang menyeronokkan. Secara tak langsung saya dapat berlatih menjahit lurus pada hari ini. Sambil tu ambil peluang bermesra bersama ahli-ahli VIP yang lain dan cikgu-cikgu di situ. Baru saya tahu ada tiga orang cikgu rupanya kat EPAL Bangi tu. Selain dari cikgu Nadia, ada cikgu Anie dan cikgu Ivy. Projek hari ni kami buat bersama-sama dengan cikgu Anie. Cikgu Anie cakap, beg yang kita nak buat ni besar. Boleh masuk anggaran 15 orang. Projek ni adalah cadangan dari Tengku Puan Pahang selaku penaung Koperasi Dagang Seni Malaysia Berhad (KDSM). Beliau mahukan EPAL mencipta rekod dunia dengan rekaan beg yang terbesar di dunia melalui teknik seni jahitan. Jadi semua ahli VIP di setiap cawangan dipelawa untuk turut serta dalam menjayakan projek ini. Setelah siap nanti, beg ini akan dipamerkan di galeri atau muzium EPAL di Puchong. Untuk masuk ke galeri atau muzium ini akan dikenakan caj tetapi sebagai penghargaan kepada mereka yang telah turut serta di dalam menjayakan projek ini, mereka akan diberi masuk secara percuma. Tapi projek tersebut tidak berakhir pada hari ini. Cikgu Anie minta ia disambung semula pada hari Rabu nanti kerana kain yang telah dicantum tadi akan dipotong menjadi bahagian-bahagian kecil dan akan dicantumkan semula. Saya pun tak dapat nak bayangkan bagaimanakah hasilnya. Tak sabar rasanya nak tengok hasilnya. Yang paling penting, ada sedikit sumbangan saya di dalam kejayaan projek itu nanti.

Isnin, 8 Disember 2014

5 Teknik Seni Jahitan Kreatif

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Ada lima teknik seni jahitan kreatif yang saya berhasrat sangat nak belajar. Hasrat tu terpendam semenjak saya mula jatuh hati dengan majalah CrossStitcher Edisi UK. Ketika itu saya masih berkerja. Tak sangka pula teknik-teknik tersebut ada diajarkan di Pusat Latihan Kraftangan EPAL. Di sini saya kongsikan serba sedikit maklumat asas tentang teknik-teknik tersebut:-
  1. Patchwork - merupakan satu seni cantuman yang menggunakan acuan atau cantuman kain pecah kecil yang dicantum untuk menghasilkan motif atau corak. Ia merupakan salah satu teknik seni jahitan yang sudah dikenali sejak dari zaman dahulu lagi. Disebabkan masalah kekurangan bahan mentah ketika itu dan menjimatkan wang, kaedah ini telah digunakan untuk memperbaharui pakaian lama menjadi selimut. 
  2. Applique - merupakan satu kaedah hiasan pakaian dengan teknik tampal kain dan dijahit sulam di sekeliling tepi motif atau corak. Ia merupakan satu teknik kitar semula kain dan menjimatkan wang kerana ia menggunakan perca-perca kain yang kecil. Teknik ini juga boleh memperbaharui artikel-artikel lama menjadi baru. Ianya kelihatan cantik dan unik.
  3. Quilting - "Quilt" ialah tindihan dua hingga tiga lapisan fabrik dengan jahitan tangan atau mesin. Ia bertujuan untuk mencantum atau melekatkan fabrik dan batting supaya artikel tersebut boleh menjadi lebih tebal dan juga menjadikan artikel tersebut timbul atau bercorak. Kebiasaannya lapisan atas ialah cantuman atau patchwork atau applique atau kepingan kain besar berbentuk satu bunga rekaan. Lapisan tengah ialah batting manakala lapisan bawah ialah fabrik alas belakang.
  4. Smocking - merupakan satu teknik sulaman yang menghasilkan kedutan pada fabrik secara teratur dan anjal. Kebiasaannya smocking digunakan pada bahagian atas baju dan ditambah dengan sulaman benang yang berasaskan pelbagai motif seperti geometri, flora dan fauna.
  5. Sulaman - bertujuan untuk menghias kain atau projek hasil jahitan. Sulaman pada zaman kuno dibuat secara manual dengan menggunakan tangan manusia. Dengan adanya teknologi yang semakin canggih, sulaman pada masa sekarang dibuat dengan menggunakan mesin berkomputer sahaja.

Semakin Mengenali Mesin Sulamanku

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Hari Ke-3 @ EPAL Bangi, 5 Disember 2014, 2.00ptg - 7.00ptg

Hari ni selepas jemput anak dari kelas tambahan di sekolah agama, jumpa bekas rakan sepejabat sekejap. Makan tengahari bersama sambil borak-borak. Bila ditanya tentang aktiviti terkini, tercerita pula pasal pergi belajar sulaman kat EPAL Bangi. Tiba-tiba diorang cakap nak hantar sulamkan baju untuk majlis sambutan Maulidurrasul nanti. Tergamam seketika. Otak ligat berfikir. Aku belum belajar lagi sulaman baju kurung. Tak boleh jadi ni, minggu depan aku mesti siapkan projek baju kurung + sulaman + kerawang.

Hari ni sampai kat kelas, selesaikan rutin macam biasa. Tulis nama dalam buku rekod kehadiran dan setting meja. Hari ni saya siapkan projek Name Tag dan buat projek Tissue Box Cover. Tapi untuk Tissue Box Cover tu saya cuma sempat siapkan sulamannya sahaja. Hari ni belajar dalam keadaan tenang. Kisah semalam jadikan sebagai pengalaman. Untuk projek ni, langkah-langkah ada disediakan. Jadi saya rujuk kepada langkah-langkah tersebut. Sesekali minta bantuan cikga Nadia terutamanya ketika hendak memulakan sulaman. Alhamdulillah, selepas tiga hari menggunakan mesin sulaman ni, saya sudah semakin mengenalinya. Sudah tahu bagaimana hendak mengendalikannya. In Shaa Allah, minggu depan saya akan siapkan projek ni sebelum mulakan projek baju kurung + sulaman + kerawang.

Ahad, 7 Disember 2014

Menjahit Mengajar Saya Erti Kesabaran

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Hari Ke-2 EPAL Bangi, 4 Disember 2014, 1.00tgh - 6.00ptg

Semalam tak dapat nak pergi kelas sebab kereta tak berapa sihat. Kena hantar pergi bengkel. Jadi hari ni dengan bersemangatnya pergi ke kelas nak siapkan projek syiling pouch yang tak sempat siap hari tu. Sampai, terus setting tempat dan makan tengahari dulu sementara tunggu masuk waktu solat Zohor. Selesai solat, terus siapkan syiling pouch tu. Lepas tu buat projek book cover dengan harapan nak siapkan hari ni juga. Mula-mula sulam pada bahagian luar book cover. Dah siap, kena selesaikan bahagian dalam pula. Untuk siapkan projek ni tiada langkah-langkah disediakan sebagai panduan. 100% mengharapkan tunjuk ajar dari cikgu. Samalah dengan tiga projek yang telah saya siapkan sebelum ni. Jadi, sebagai pelajar yang tak pandai menjahit ni memang mengharapkan tunjuk ajar cikgu ajelah semata-mata. Siap jahit bahagian dalam book cover tu, cikgu pun datang tengok hasil jahitan. Belek punya belek, cikgu cakap silap ni. "Ha!" Terkejut saya. Tapi cikgu tenang aje. Sambil senyum dia cakap, "Tak pe, tetas balik jahitan ni." Baiklah, saya pun tetaslah semula jahitan tu dengan penuh kesabaran. Selesai tugasan menetas, cikgu suruh jahit semula bahagian dalam tadi tapi dengan cara lipatan yang lain pula. Dalam keadaan berjaga-jaga tu tiba-tiba kain yang sedang dijahit tu tersangkut pula kat dalam embroidery foot. Kelam kabut saya tekan butang stop. Cuba selesaikan masalah sendiri. Potong benang dan tarik kain yang tersangkut tu perlahan-lahan keluar dari embroidery foot tu. Alhamdulillah, selamat. Secara tak langsung saya dapat belajar bertenang apabila menghadapi masalah dengan mesin tersebut. Saya pun meneruskan jahitan sehingga selesai. Dah siap, tunjuk kat cikgu. Cikgu belek sana belek sini, dengan tenang cikgu cakap, "Silap ni. Takpe nanti saya tengok balik macam mana cara buat book cover ni." Masa tu jam pun dah menghampiri enam petang. Saya pun dah nak balik. Dengan tenang dalam kekecewaan saya pun jawab, "Ok cikgu."

Pengalaman yang saya dapat hari ni saya cuba kaitkan dengan apa yang pernah saya baca sebelum ni, menjahit adalah satu terapi! Ia boleh mengajar seseorang itu erti kesabaran. Tapi masa tu saya tak faham apa yang dimaksudkan dengan terapi kesabaran tu. Kini saya telah alami dan baru saya faham. Memang menjahit ni mengajar saya erti kesabaran. Dalam keadaan tak sabar nak tengok hasil jahitan, setelah meluangkan masa membetulkan kesilapan, tiba-tiba apa yang saya usahakan tu tidak berhasil. Ada perasaan kecewa di hati bila fikir usaha tadi seperti sia-sia. Tiba-tiba teringat kisah pencipta lampu mentol, Thomas Edison yang hanya mencapai kejayaan selepas seribu kali mencuba. Apabila ditanya bagaimana beliau masih boleh berusaha walaupun gagal begitu banyak kali, beliau menjawab, "Saya tidak menganggap diri saya gagal tetapi saya telah menjumpai 999 cara yang salah dalam mencipta lampu mentol." Satu kisah motivasi yang sesuai untuk situasi saya ketika itu. Tiba-tiba saya rasa kagum dengan cikgu Nadia. Walaupun dia telah tersilap tapi dia boleh bertenang. Bila fikir balik, buat apa nak kelam kabut, nak marah, benda dah silap, buatlah semula yang lain. Sekali lagi saya teringat apa yang pernah saya baca, menjahit ni kena banyak try and error. Akhirnya saya bersyukur, Alhamdulillah saya telah diberi kekuatan untuk belajar bersabar. Terima kasih cikgu Nadia.

Sabtu, 6 Disember 2014

Hari Pertama Di EPAL Bangi

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

EPAL Bangi, 2 Disember 2014, 10.00pg - 4.00ptg

Hari ini merupakan hari pertama saya menghadiri kelas di EPAL Bangi. Berdebar rasanya. Saya memang macam tu. Setiap kali nak buat sesuatu benda yang saya tak pernah buat mesti saya rasa berdebar. Kebetulan encik suami cuti hari ni, siap ajak dia temankan lagi. Bukan apa, nak mintak tolong dia tunjukkan jalan macam mana nak ke EPAL Bangi tu pun ia jugak. Dah banyak kali lalu situ pun tak ingat-ingat jugak lagi. Hmmm, saya ni memang bermasalah bab nak ingat jalan ni. Alhamdulillah encik suami penyabar orangnya dan memberi sokongan 100% kepada saya untuk saya belajar menjahit. Dialah yang tolong angkut mesin dan bahan-bahan projek ke dalam kelas. Dah macam orang hantar anak masuk darjah satu pulak rasanya. Siap temankan lagi sementara nak tunggu anak habis kelas tambahan di sekolah.

Pertama kali melangkah masuk ke kelas, disambut mesra dengan senyuman dan ucapan "Selamat pagi kak, selamat datang." Hilang sikit debaran. Perkara pertama yang cikgu bagitau, "Setiap kali datang ke kelas kena tulis nama dalam buku rekod kehadiran ye kak." Lepas tu cikgu pun tanya, "Hari ni nak belajar apa, kak?" Baik-baik cikgu kat sini. Terus hilang debaran di hati. Kebetulan saya datang awal, EPAL belum buka saya dah sampai. Maka sayalah pelajar pertama yang datang pada hari ini. Setelah memilih meja di hadapan sekali, saya pun setting mesin dan kemas bahan di atas meja ikut keselesaan saya nak belajar. Alhamdulillah semalam saya dah khatamkan buku manual tu. Sekurang-kurangnya ada persediaan dan taklah sikit-sikit nak panggil cikgu tanya itu ini.

Sedikit sesi suaikenal bersama cikgu sebelum meneruskan sesi pembelajaran. Kalau kat EPAL Puchong, cikgu dia ada ramai. Tapi kat sini, hari ni saya cuma nampak seorang aje cikgu. Nama cikgu tu Nurul Nadia. Saya panggil cikgu Nadia. Seorang lagi jaga kaunter. Kalau tak silap nama dia pun Nurul juga. Sebelum belajar, saya bagitau cikgu siap-siap bulan ni saya nak siapkan 15 projek Home Based Business (HBB) tu, sekurang-kurangnya cikgu tahu apa tujuan dan matlamat saya datang ke kelas dan cikgu pun boleh buat persediaan awal sekiranya saya memerlukan bantuannya. Untuk hari pertama ni saya bawa semua bahan-bahan projek yang saya rasa mudah untuk saya buat aje dulu. Dua projek yang sempat saya siapkan pada hari ini ialah sulaman pada tuala dan tissue pouch. Untuk projek ketiga yang saya buat iaitu syiling pouch, saya cuma sempat siapkan sulamannya sahaja. Tak sempat nak sambung dan siapkan projek sebab dah nak balik. Hari ni saya balik awal sikit. Jam empat petang. Kalau tunggu sampai jam tujuh, In Shaa Allah boleh siap.

Khamis, 4 Disember 2014

Sehari Sebelum Ke Kelas Sulaman

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Pangsapuri Casa Riana, 1 Disember 2014

Dapat mesin sulam ni dah hampir enam bulan. Dari sebelum raya puasa lagi. Kalau tak silap, dalam dua minggu sebelum saya berhenti kerja. Rancang nak pergi ke kelas EPAL pada bulan puasa yang lalu tapi disebabkan saya baru sahaja berhenti kerja ketika itu dan masih tidak pandai menyusun jadual rutin harian lagi, hasrat hati ditangguhkan hingga ke selepas raya. Dah habis raya, balik dari kampung ingatnya boleh lah saya ke kelas, sibuk pula dengan jemputan rumah terbuka. Sempat la curi-curi masa pergi ke kelas sekali, itu pun lebih kurang tiga jam sahaja sebab petang tu ada jemputan rumah terbuka di rumah mak cik pula. Itu lah sekali saya pergi ke kelas selepas dapat mesin sulam tersebut. Tak sempat pun nak mengenali bahagian-bahagian mesin tu. Selepas tu bila nak pergi ke kelas semula, saya buat kira-kira dulu untuk kos-kos yang terlibat seperti minyak, tol, jarak dan masa. Sekali lagi hasrat hati tertangguh. Mana taknya, saya tinggal di Seri Kembangan, setiap pagi saya hantar anak-anak ke sekolah di Putrajaya. Balik sampai di rumah terus sarapan, jemur kain baju, masak sambil mengemas rumah ditemani si kecil yang berusia dua tahun. Nak melayan kerenah anak teruna tu lagi. Pukul satu tengahari keluar hantar makanan pada anak-anak dan hantar diorang ke sekolah agama pula di Bangi. Ingatnya selepas hantar diorang ke sekolah agama dalam jam dua petang tu nak lah pergi ke kelas EPAL di Puchong, tapi bila fikir balik kos-kos yang terlibat tadi macam tak berbaloi je. Sampai EPAL Puchong dah jam tiga petang, nak cari parking, nak angkut mesin dan bahan-bahan projek, nak solat Zohor, silap-silap siap aje setting nak mula menjahit dah masuk Asar. Anak-anak keluar sekolah jam enam petang. Nak redah kesesakan jalan raya lagi. Paling lambat pun jam lima petang saya mesti dah kena gerak ke Putrajaya. Akhirnya saya buat keputusan untuk tangguhkan lagi hasrat hati. Tunggu cuti sekolah panjang bulan dua belas nanti lah senang. Rupa-rupanya Allah dah buat perancangan yang terbaik untuk saya. Suatu hari, buka facebook ada orang post kat group, dia pergi ke EPAL Bangi. Baru saya tahu EPAL dah buka cawangan barunya di Bangi sejak dari bulan lapan lagi. Alhamdulillah dan terima kasih tak terhingga pada saudari yang memberi maklumat tersebut. Maka bermula lah episod travelog kembara ilmu saya di EPAL Bangi.

Disebabkan dah lama tak sentuh mesin sulam tu, jadi sehari sebelum ke kelas sulaman, saya pun dengan bersemangatnya mengkhatamkan Instruction Book mesin tersebut. Dari kulit (muka hadapan) ke kulit (muka belakang). Alhamdulillah, langkah-langkah bagaimana hendak menggunakan mesin tersebut sangat mudah untuk difahami walaupun hanya dengan membaca manual sahaja. Apa yang paling penting bagi saya, saya perlu kenali bahagian-bahagian mesin tersebut dan aksesori asas yang wajib ada terlebih dahulu supaya mudah untuk saya mengendalikan mesin tersebut selepas ini.