Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim
Teks: Nurul Nisa Yahaya
Pangsapuri Casa Riana, 1 Disember 2014
Dapat mesin sulam ni dah hampir enam bulan. Dari sebelum raya puasa lagi. Kalau tak silap, dalam dua minggu sebelum saya berhenti kerja. Rancang nak pergi ke kelas EPAL pada bulan puasa yang lalu tapi disebabkan saya baru sahaja berhenti kerja ketika itu dan masih tidak pandai menyusun jadual rutin harian lagi, hasrat hati ditangguhkan hingga ke selepas raya. Dah habis raya, balik dari kampung ingatnya boleh lah saya ke kelas, sibuk pula dengan jemputan rumah terbuka. Sempat la curi-curi masa pergi ke kelas sekali, itu pun lebih kurang tiga jam sahaja sebab petang tu ada jemputan rumah terbuka di rumah mak cik pula. Itu lah sekali saya pergi ke kelas selepas dapat mesin sulam tersebut. Tak sempat pun nak mengenali bahagian-bahagian mesin tu. Selepas tu bila nak pergi ke kelas semula, saya buat kira-kira dulu untuk kos-kos yang terlibat seperti minyak, tol, jarak dan masa. Sekali lagi hasrat hati tertangguh. Mana taknya, saya tinggal di Seri Kembangan, setiap pagi saya hantar anak-anak ke sekolah di Putrajaya. Balik sampai di rumah terus sarapan, jemur kain baju, masak sambil mengemas rumah ditemani si kecil yang berusia dua tahun. Nak melayan kerenah anak teruna tu lagi. Pukul satu tengahari keluar hantar makanan pada anak-anak dan hantar diorang ke sekolah agama pula di Bangi. Ingatnya selepas hantar diorang ke sekolah agama dalam jam dua petang tu nak lah pergi ke kelas EPAL di Puchong, tapi bila fikir balik kos-kos yang terlibat tadi macam tak berbaloi je. Sampai EPAL Puchong dah jam tiga petang, nak cari parking, nak angkut mesin dan bahan-bahan projek, nak solat Zohor, silap-silap siap aje setting nak mula menjahit dah masuk Asar. Anak-anak keluar sekolah jam enam petang. Nak redah kesesakan jalan raya lagi. Paling lambat pun jam lima petang saya mesti dah kena gerak ke Putrajaya. Akhirnya saya buat keputusan untuk tangguhkan lagi hasrat hati. Tunggu cuti sekolah panjang bulan dua belas nanti lah senang. Rupa-rupanya Allah dah buat perancangan yang terbaik untuk saya. Suatu hari, buka facebook ada orang post kat group, dia pergi ke EPAL Bangi. Baru saya tahu EPAL dah buka cawangan barunya di Bangi sejak dari bulan lapan lagi. Alhamdulillah dan terima kasih tak terhingga pada saudari yang memberi maklumat tersebut. Maka bermula lah episod travelog kembara ilmu saya di EPAL Bangi.
Disebabkan dah lama tak sentuh mesin sulam tu, jadi sehari sebelum ke kelas sulaman, saya pun dengan bersemangatnya mengkhatamkan Instruction Book mesin tersebut. Dari kulit (muka hadapan) ke kulit (muka belakang). Alhamdulillah, langkah-langkah bagaimana hendak menggunakan mesin tersebut sangat mudah untuk difahami walaupun hanya dengan membaca manual sahaja. Apa yang paling penting bagi saya, saya perlu kenali bahagian-bahagian mesin tersebut dan aksesori asas yang wajib ada terlebih dahulu supaya mudah untuk saya mengendalikan mesin tersebut selepas ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan