Jumaat, 14 November 2014

Mari Belajar Asas Jahitan Tangan

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Sudahkah anda memiliki kotak jahitan berserta alatan dan bahan di dalamnya seperti yang telah saya kongsikan pada entri yang lepas? Jika sudah, jom kita mulakan aktiviti jahitan kita. Berikut adalah perkara asas di dalam aktiviti jahitan tangan yang wajib kita tahu. Ambil jarum dan benang terlebih dahulu! Gunting benang lebih kurang 18 inci panjang (jika untuk jahitan selembar benang) atau dua kali ganda panjang (jika untuk jahitan dua lembar benang). Kebiasaannya kita menjahit menggunakan selembar benang sahaja. Jahitan dua lembar benang bertujuan untuk menjadikan jahitan lebih kuat atau untuk menjadikan jahitan tersebut kelihatan di atas fabrik. Kenapa mesti 18 inci panjang? Kerana ia adalah panjang yang sesuai untuk memudahkan aktiviti jahitan tangan dilakukan supaya benang tersebut tidak kusut dan berbelit ketika menjahit. Jika anda tiada pembaris untuk mengukur, tidak mengapa. Ukur dari hujung jari tengah anda hingga ke paras siku. Panjangnya lebih kurang 18 inci.


Bagaimana hendak memasukkan benang ke lubang jarum?
Ambil benang yang telah digunting tadi dan masukkan ke lubang jarum. Anda mungkin merasa sukar untuk memasukkan benang tersebut ke lubang jarum memandangkan lubang jarum itu sangat halus. Jika telah mencuba berkali-kali tetapi masih juga tidak berjaya, jangan berputus asa. Gunting hujung benang yang telah mengembang atau berjurai itu dan cuba masukkan lagi sehingga berjaya. Berikut saya kongsikan beberapa tips yang boleh membantu anda:-
  • pegang jarum di hadapan sesuatu yang berwarna putih untuk memudahkan anda melihat lubang jarum; atau
  • basahkan lubang jarum dengan membasahkan jari anda terlebih dahulu, kemudian basahkan lubang jarum untuk membantu melekatkan benang ke lubang jarum. Jangan basahkan lubang jarum dengan memasukkan jarum ke dalam mulut anda!; atau
  • basahkan hujung benang, kemudian masukkan benang yang telah dibasahkan ke lubang jarum; atau
  • gunakan mata nenek (needle threader). Ini adalah kaedah yang paling mudah dan cepat.

Bagaimana hendak membuat simpulan mati pada benang?
Setelah benang berjaya dimasukkan ke lubang jarum, hujung benang tersebut mesti diikat simpul mati agar jahitan tidak terbuka setelah dijahit. Untuk jahitan selembar benang, setelah benang dimasukkan ke lubang jarum, tarik satu bahagian benang tersebut sepanjang 1/3 daripada panjang benang tadi dan ikat simpul mati di hujung bahagian benang yang 2/3 panjang. Manakala untuk jahitan dua lembar benang pula, setelah benang dimasukkan ke lubang jarum, jadikan kedua-dua bahagian benang tersebut sama panjang dan ikat simpul mati di hujung benang tersebut. Terdapat dua cara untuk membuat simpulan mati pada benang:-

Cara 1
Buatkan bentuk bulatan, masukkan hujung benang yang terkeluar melalui bulatan tadi dan tarik hujung benang tersebut sehingga menjadi simpulan mati.




Cara 2
Ambil hujung benang dan lilitkan antara tiga hingga lima lilitan di hujung jarum. Pastikan lilitan tersebut tidak terlalu ketat. Sambil memicit lilitan tadi (jangan terlalu kuat supaya lilitan tersebut boleh melepasi lubang jarum), tarik jarum ke atas sambil menarik lilitan tersebut ke bawah hingga ke hujung benang sehingga menjadi simpulan mati.




Bagaimana hendak menyembunyikan simpulan benang pada fabrik?
Pastikan apabila kita memulakan jahitan, simpulan mati pada benang disembunyikan di sebalik lipatan fabrik di hujung permulaan jahitan.


Sekarang, anda telah boleh mulakan aktiviti jahitan anda! Selamat menjahit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan