Selasa, 10 Januari 2017

Hari Pertama Bergelar Pelatih GIATMARA

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Hari ini merupakan hari pertama saya bergelar pelatih Giatmara setelah lima hari berorientasi. Orientasi bermula 3 Januari 2017 dan tamat pada 9 Januari 2017. Seronok juga berorientasi setelah sekian lama meninggalkan alam persekolahan. Untuk sesi Jan-Jun 2017 ini sayalah pelatih yang paling senior kalau dikira dari usia. Jangan malu...usia bukan penghalang untuk kita menuntut ilmu. Dalam Kursus Fashion and Dressmaking sesi ini pelatih paling ramai adalah adik-adik yang tunggu keputusan SPM. Dah terbiasa bahasakan diri sebagai akak di kelas, sampai dengan anak-anak di rumah pun terbahasakan diri akak juga. Haha...terasa muda sekejap.

Hari ini cikgu jahitan kami masih berada di luar kawasan atas urusan kerja. Jadi cikgu cuma whatsapp sahaja kerja yang perlu kami siapkan. Cikgu minta kami lukis lima fashion blaus dan skirt. Huh..lukis! Tidakkkkk. Tapi mesti siapkan juga. Esok cikgu nak tengok hasilnya. Gigihlah kami melukis dari jam 2 petang sampai habis waktu kelas jam 5 petang. Malam ni nak warnakan sampai siap. Tak tahulah pukul berapa nak tidur. In Shaa Allah dah siap nanti saya kongsikan hasilnya ok.

Khamis, 1 Disember 2016

Kini Saya Menulis Kembali!

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Ya Allah! Pantas sungguh masa berlalu. Ketika hati terasa ingin menulis, baru saya sedar rupanya sudah hampir dua tahun saya tidak menulis di sini. Kali terakhir saya menulis adalah tentang travelog kembara ilmu saya di EPAL. Hajat di hati ingin menamatkan pembelajaran di EPAL sehingga tahap tiga dan berkongsi ilmu yang saya peroleh. Namun saya hanya mampu merancang, Allah juga merancang dan perancangan Allah itu lebih baik. Hajat saya tidak kesampaian. Pasti ada hikmah di sebaliknya...

Bermula sesi persekolahan tahun 2015, ketika itu saya masih menetap di Seri Kembangan dan anak-anak bersekolah di Putrajaya. Kesibukan menguruskan rutin harian menyebabkan saya tidak berkesempatan untuk ke kelas tambahan pula ketika itu anak sulung saya akan menghadapi peperiksaan UPSR dan PSRA. Namun anak-anak bukanlah penghalang untuk saya mencari ilmu dan tidak bermakna saya tidak ke kelas, saya tidak boleh belajar. Mungkin masa ketika itu tidak menyebelahi saya. Bukankah perancangan Allah itu lebih baik? 

Meneruskan kehidupan sambil memikirkan ke mana hala tuju masa depan anak sulung saya memandangkan dia akan ke sekolah menengah pada tahun 2016. Pada saya, pendidikan dan tarbiyah di sekolah menengah itu adalah tempat di mana dia membentuk jati dirinya dan kehidupan masa hadapannya. Memohon petunjuk dari Ilahi semoga saya ditunjukkan pilihan yang terbaik untuk anak sulung saya sehingga akhirnya menyebabkan penghijrahan kami ke kampung halaman. 

Kini genap setahun kami menetap di Kampung Titi Teras, Balik Pulau, Pulau Pinang dan anak sulung saya kini bersekolah di Sekolah Menengah Al-Itqan, Teluk Kumbar.

Selasa, 23 Disember 2014

Kenapa Baju Sulam Mahal Harganya?

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Hari Ke-10 @ EPAL Bangi, 18 Disember 2014, 1.00tgh - 6.00ptg

Hari ini saya bersemangat ke kelas dengan rancangan untuk menyiapkan sulaman di hujung tangan baju kurung yang tidak dapat saya sudahkan semalam. Sasaran saya, saya dapat menyiapkan sulaman untuk kedua-dua belah hujung tangan tersebut pada hari ini. Rupanya saya silap. Dalam fikiran nampak kerjanya seperti mudah. Tetapi bila sudah menghadapinya baru saya tahu, rumitnya kerja-kerja menyulam ini walaupun dengan adanya bantuan mesin. Barulah saya tahu kenapa baju sulam mahal harganya. Pertama, mahal kerana kesabaran yang dizahirkan. Kedua, mahal kerana masa yang diluangkan. Dan ketiga, mahal kerana ketekunan yang diperuntukkan. Lebih teliti dan lebih kemas sesuatu hasil sulaman itu maka lebih mahallah harga jualannya. Sebagai contoh, sulaman di hujung tangan baju saya. Sekali sulam saya dapat menyiapkan empat biku dengan dua puluh kuntum bunga kecil yang menjalar berserta outline bagi bunga-bunga tersebut. Masa yang diperlukan untuk menyiapkannya adalah dua puluh lima minit. Untuk menyiapkan sulaman sebelah tangan baju sahaja, mesin mengambil masa lebih kurang satu jam. Itu belum mengambil kira masa yang saya luangkan untuk mencari starting point bagi menyambung sulaman seterusnya. Masa yang diluangkan untuk menjaga benang. Walaupun mesin boleh ditinggalkan dan saya boleh melakukan kerja lain di samping itu namun sesekali saya perlu juga untuk melihat artikel yang sedang disulam. Jika benang atas menjadi tegang ia akan menyebabkan benang bawah timbul di permukaan atas artikel yang disulam. Jika artikel menggunakan pelbagai warna yang berlainan, masa juga perlu diluangkan untuk menukar benang dari satu warna kepada warna yang lain. Selesai menyulam, buang dan bersihkan stabilizer dan juga benang-benang pada artikel sulaman. Kemudian buat kemasan tepi sulaman menggunakan hot wire cutter. Segalanya memerlukan masa untuk diluangkan dan juga ketekunan serta kesabaran yang tinggi. Akhirnya hari ini saya cuma dapat siapkan sebelah tangan sahaja. Ia sangat meletihkan lebih-lebih lagi ini adalah pengalaman pertama saya menyulam pakaian sendiri tetapi apabila melihat hasilnya, ia sangat memuaskan hati.

Seronoknya Menjahit Baju Kurung

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Hari Ke-9 @ EPAL Bangi, 17 Disember 2014, 1.00tgh - 7.00ptg

Tak sabar nak ke EPAL hari ni setelah dua hari bercuti. Bersemangat nak menjahit baju kurung. Persediaan sebelum menjahit semua dah disiapkan pada hari Jumaat yang lepas. Jadi matlamat hari ni nak belajar menjahit bersungguh-sungguh. Sampai, siap sediakan mesin dan meja, makan dan solat. Dah bersedia, panggil cikgu. Hari ni kita nak buat apa Cikgu Nadia ye? Mula-mula sulam bahagian leher dulu. Sebelum mula menyulam, cikgu suruh saya lipat kain bahagian badan tu kepada empat bahagian dan gosok untuk dapatkan tanda bahu dan tanda tengah leher. Kemudian pasangkan pada ram dan mulakan sulaman. Siap sulaman, tanggalkan daripada ram dan koyakkan stabilizer. Buang sehingga bersih. Selesai, cikgu suruh sambung pesak dengan kekek. Lepas tu sambungkan pula bahagian tangan pada pesak dan kekek yang telah disambungkan tadi. Ha ini baru proses menjahit bermula. Tak tahu nak cerita macam mana tapi yang pastinya seronok bila tengok pesak, kekek dan tangan dah bercantum. Walaupun beberapa kali perlu ditetas dan dijahit semula tapi bila dah siap gosok dan tengok hasilnya kemas, rasa seronok dan tak sangka yang saya sudah boleh menjahit. Rasa macam tak sabar nak sambung pada bahagian badan pula. Tapi cikgu cakap, sebelum sambung bahagian badan kita sulam tangan dulu. Yang tu saya sambung esok ye cikgu. 

Isnin, 22 Disember 2014

Kelas Teknik Sulaman Bahagian 1

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Hari Ke-8 @ EPAL Bangi, 14 Disember 2014, 10.30pg - 6.00ptg

Hari ni ada kelas teknik sulaman. Diajar oleh cikgu Nurul Syamiza. Panggil cikgu Miza sebab ramai sangat nama Nurul kat EPAL tu termasuklah saya. Ada 17 teknik sulaman yang akan diajar tapi hari ini cikgu sempat ajar tiga teknik sahaja. Sebelum mulakan kelas, cikgu ajar dulu macammana nak ketatkan ram dengan menggunakan magic stop supaya kain dapat ditegangkan dan tidak beralih ketika menyulam. In Shaa Allah ada kesempatan nanti saya masukkan gambar. Tiga teknik yang sempat saya belajar hari ini ialah teknik lace, teknik 3D dan teknik 3D organza. Untuk belajar ketiga-tiga teknik ini, saya telah menggunakan tiga alatan dan bahan yang tidak pernah saya gunakan sebelum ini iaitu water soluble stabilizer - fabric type, water soluble stabilizer - sponge type dan hot wire cutter. Seronok dapat belajar benda baru.

#1  Teknik Lace

      Bahan-bahan:

  1. Water soluble stabilizer - fabric type
  2. Benang bawah dan benang atas = benang sama warna

      Cara-cara:

  1. Letakkan water soluble stabilizer - fabric type pada ram
  2. Mulakan sulaman
  3. Selesai menyulam, tanggalkan hasil sulaman dari ram 
  4. Gunting keliling hasil sulaman
  5. Rendam hasil sulaman semalaman supaya lace tersebut menjadi lembut
  6. Angkat dan jemur  

#2  Teknik 3D

      Bahan-bahan:

  1. Water soluble stabilizer - sponge type
  2. Tear away stabilizer
  3. Benang bawah = benang putih
  4. Benang atas = benang warna
  5. Kain

      Cara-cara:

  1. Letakkan kain pada ram
  2. Selitkan tear away stabilizer di bawah kain
  3. Letakkan water soluble stabilizer - sponge type di tempat sulaman yang hendak kelihatan 3D, contohnya pada bahagian bunga
  4. Mulakan sulaman
  5. Selesai menyulam, tanggalkan hasil sulaman daripada ram
  6. Tanggalkan tear away stabilizer di bawah kain tadi
  7. Rendam hasil sulaman semalaman supaya hasil sulaman tersebut menjadi lembut
  8. Angkat dan jemur
  9. Hasilnya, water soluble stabilizer - sponge type itu akan hilang dan bunga tersebut kelihatan timbul

#3  Teknik 3D Organza

      Bahan-bahan:

  1. Benang bawah dan benang atas = benang sama warna
  2. Kain organza
    
      Cara-cara:

  1. Lipat kain organza menjadi dua lapisan dan letakkan pada ram
  2. Mulakan sulaman
  3. Selesai menyulam, tanggalkan hasil sulaman dari ram
  4. Gunting keliling hasil sulaman
  5. Buat kemasan keliling hasil sulaman dengan menggunakan hot wire cutter

Selasa, 16 Disember 2014

Persediaan Sebelum Menjahit Baju Kurung

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Hari Ke-7 @ EPAL Bangi, 12 Disember 2014, 10.30pg - 6.00ptg

Hari ni selepas hantar kakak ke kelas tambahan saya terus ke EPAL Bangi. Jam 9.30 pagi saya dah masuk kelas letak barang kat meja. Cikgu-cikgu sedang mendengar taklimat ringkas dari ketua mereka, Puan Ailie. Pagi ni jam 10.30 ada sesi taklimat promosi mesin jahit Janome Horizon Memory Craft 8900QCP. Saya telah dijemput untuk mengikuti sesi taklimat tersebut. Sementara menunggu sesi tersebut bermula, saya pergi sarapan dulu kat kedai Asam Pedas berhampiran dengan EPAL. Masa saya sampai dalam jam 10.00 tu lauk makan tengahari dah terhidang. Apa lagi, makan tengahari teruslah. Nanti dah menjahit tak ingat nak makan dah. Memang sedap masak asam pedas dia. Saya makan asam pedas ikan pari dan sayur pucuk manis masak lemak tapi saya ambil sayur aje. Makan pulak dengan sambal tempoyak. Terbaik. Memang kenyang sampai ke petang. Siap tapau masak kicap untuk kakak sekali. Jam 10.30 pagi sampai 12.00 tengahari saya ikuti sesi taklimat tu. Dia siap demo sekali fungsi-fungsi mesin tu. Bila tengok tu memang rasa macam nak belilah. Mana taknya, dengan mesin tu ia memudahkan banyak kerja berbanding mesin yang saya berhajat nak beli sebelum ni. Mulalah hati berbelah bahagi. Takpe, kita mintak petunjuk dari Allah dulu ye. Istikharah dulu. Tamat sesi taklimat tu saya terus pergi jemput kakak dari kelas tambahannya dan bawa dia ke EPAL. 

Sampai EPAL dah jam 1.00 tengahari. Lupakan pasal mesin pagi tadi untuk seketika waktu. Sekarang saya nak mulakan projek kursus baju kurung + sulaman + kerawang. Sebelum menjahit baju kurung, ada beberapa persediaan yang perlu saya buat terlebih dahulu.

Pertama dan yang paling penting
Mengambil ukuran:
a) Bahu
b) Labuh tangan
c) Pergelangan tangan
d) Ketiak
e) Keliling leher
f) Dada
g) Keliling pinggang
h) Keliling punggung
i) Labuh baju
j) Labuh kain
* sediakan pita ukur

Kedua
Merajah pola (baju sahaja):
a) Lukis pola bahagian badan, bahagian tangan, bahagian pesak dan kekek
b) Gunting pola
c) Tandakan simbol pada pola untuk kemudahan semasa menggunting kain nanti
    - tandakan basi 1/2 inci pada semua bahagian kecuali bahagian untuk disulam, 2 inci
    - tandakan lipatan kain
    - tandakan ira kain
* sediakan kertas minyak, pita ukur, pembaris lurus, pensil, pemadam dan gunting kertas

Ketiga
Menggunting baju:
a) Gosok kain terlebih dahulu
b) Bentang kain dan dapatkan ira kain
c) Letakkan kertas pola pada kain dan pin (Rujuk tanda lipatan dan ira kain pada kertas pola)
d) Tandakan basi pada kain (Rujuk pada kertas pola)
e) Gunting kain pada basi yang telah ditanda
f) Tandakan ukuran mengikut kertas pola pada kain di bahagian hadapan dan belakang
* sediakan kain, kertas pola, jarum peniti, kapur jahit, pembaris lurus, gunting kain, roda surih dan tracing paper

Menggunting kain:
a) Untuk panjang kain, dapatkan ukuran keliling punggung
b) Tambahkan 21" untuk lipatan kipas kain, 3" untuk kelonggaran dan 2" untuk basi
c) Bahagikan ukuran yang telah ditambah tadi kepada 2
d) Lipat kain kepada dua bahagian mengikut ukuran yang telah dibahagi tadi
e) Untuk labuh kain, dapatkan ukuran labuh kain
f) Tambahkan 1" untuk basi. 1/2" basi atas dan 1/2" basi bawah
g) Gunting kain mengikut ukuran yang telah ditandakan
* sediakan kain, pita ukur, pembaris lurus, kapur jahit dan gunting kain

Keempat
Menjahit tepi kain

Isnin, 15 Disember 2014

Jenis Kain Mengikut Cara Pembuatannya

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Pernah tak anda terfikir, bagaimanakah cara membuat kain? Tahukah anda pilihan kain yang salah akan memberi kesan ke atas hasil jahitan anda? Untuk itu, anda perlu tahu terlebih dahulu jenis sesuatu kain sebelum membelinya mengikut kesesuaian projek yang ingin anda siapkan. Untuk pengetahuan anda, kain dibuat melalui salah satu daripada tiga cara berikut. Samada secara woven, knit atau bonded. Saya pun tak pasti istilahnya dalam Bahasa Malaysia. Tapi, kain woven dan knit adalah jenis kain yang paling biasa ditemui. Sebagai contoh, kain kapas. Kain kapas boleh ditemui samada dalam jenis woven atau knit. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, biarlah gambar yang berbicara. Gambar tersebut menerangkan dua cara kain dibuat iaitu secara woven dan knit.

Woven Fabrics



Knit Fabrics


Berikut saya kongsikan macammana cara anda nak tahu samada kain itu adalah jenis woven atau knit.

1) Cuba regangkan kain
    Woven fabrics tidak meregang tetapi knit fabrics akan meregang.


2) Cuba kedutkan kain
    Woven fabrics akan berkedut tetapi knit fabrics tidak berkedut