Selasa, 23 Disember 2014

Kenapa Baju Sulam Mahal Harganya?

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Hari Ke-10 @ EPAL Bangi, 18 Disember 2014, 1.00tgh - 6.00ptg

Hari ini saya bersemangat ke kelas dengan rancangan untuk menyiapkan sulaman di hujung tangan baju kurung yang tidak dapat saya sudahkan semalam. Sasaran saya, saya dapat menyiapkan sulaman untuk kedua-dua belah hujung tangan tersebut pada hari ini. Rupanya saya silap. Dalam fikiran nampak kerjanya seperti mudah. Tetapi bila sudah menghadapinya baru saya tahu, rumitnya kerja-kerja menyulam ini walaupun dengan adanya bantuan mesin. Barulah saya tahu kenapa baju sulam mahal harganya. Pertama, mahal kerana kesabaran yang dizahirkan. Kedua, mahal kerana masa yang diluangkan. Dan ketiga, mahal kerana ketekunan yang diperuntukkan. Lebih teliti dan lebih kemas sesuatu hasil sulaman itu maka lebih mahallah harga jualannya. Sebagai contoh, sulaman di hujung tangan baju saya. Sekali sulam saya dapat menyiapkan empat biku dengan dua puluh kuntum bunga kecil yang menjalar berserta outline bagi bunga-bunga tersebut. Masa yang diperlukan untuk menyiapkannya adalah dua puluh lima minit. Untuk menyiapkan sulaman sebelah tangan baju sahaja, mesin mengambil masa lebih kurang satu jam. Itu belum mengambil kira masa yang saya luangkan untuk mencari starting point bagi menyambung sulaman seterusnya. Masa yang diluangkan untuk menjaga benang. Walaupun mesin boleh ditinggalkan dan saya boleh melakukan kerja lain di samping itu namun sesekali saya perlu juga untuk melihat artikel yang sedang disulam. Jika benang atas menjadi tegang ia akan menyebabkan benang bawah timbul di permukaan atas artikel yang disulam. Jika artikel menggunakan pelbagai warna yang berlainan, masa juga perlu diluangkan untuk menukar benang dari satu warna kepada warna yang lain. Selesai menyulam, buang dan bersihkan stabilizer dan juga benang-benang pada artikel sulaman. Kemudian buat kemasan tepi sulaman menggunakan hot wire cutter. Segalanya memerlukan masa untuk diluangkan dan juga ketekunan serta kesabaran yang tinggi. Akhirnya hari ini saya cuma dapat siapkan sebelah tangan sahaja. Ia sangat meletihkan lebih-lebih lagi ini adalah pengalaman pertama saya menyulam pakaian sendiri tetapi apabila melihat hasilnya, ia sangat memuaskan hati.

2 ulasan:

  1. waa seronok ny..di sabah syrikat epal dekat mana ya...lama suda sy pendam idaman sy dn minat mindah sy.. tpi bru hari ne keyakinan sy da

    BalasPadam