Memaparkan catatan dengan label Seni Jahitan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seni Jahitan. Papar semua catatan

Isnin, 15 Disember 2014

Jenis Kain Mengikut Cara Pembuatannya

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Pernah tak anda terfikir, bagaimanakah cara membuat kain? Tahukah anda pilihan kain yang salah akan memberi kesan ke atas hasil jahitan anda? Untuk itu, anda perlu tahu terlebih dahulu jenis sesuatu kain sebelum membelinya mengikut kesesuaian projek yang ingin anda siapkan. Untuk pengetahuan anda, kain dibuat melalui salah satu daripada tiga cara berikut. Samada secara woven, knit atau bonded. Saya pun tak pasti istilahnya dalam Bahasa Malaysia. Tapi, kain woven dan knit adalah jenis kain yang paling biasa ditemui. Sebagai contoh, kain kapas. Kain kapas boleh ditemui samada dalam jenis woven atau knit. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, biarlah gambar yang berbicara. Gambar tersebut menerangkan dua cara kain dibuat iaitu secara woven dan knit.

Woven Fabrics



Knit Fabrics


Berikut saya kongsikan macammana cara anda nak tahu samada kain itu adalah jenis woven atau knit.

1) Cuba regangkan kain
    Woven fabrics tidak meregang tetapi knit fabrics akan meregang.


2) Cuba kedutkan kain
    Woven fabrics akan berkedut tetapi knit fabrics tidak berkedut





Isnin, 8 Disember 2014

5 Teknik Seni Jahitan Kreatif

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Ada lima teknik seni jahitan kreatif yang saya berhasrat sangat nak belajar. Hasrat tu terpendam semenjak saya mula jatuh hati dengan majalah CrossStitcher Edisi UK. Ketika itu saya masih berkerja. Tak sangka pula teknik-teknik tersebut ada diajarkan di Pusat Latihan Kraftangan EPAL. Di sini saya kongsikan serba sedikit maklumat asas tentang teknik-teknik tersebut:-
  1. Patchwork - merupakan satu seni cantuman yang menggunakan acuan atau cantuman kain pecah kecil yang dicantum untuk menghasilkan motif atau corak. Ia merupakan salah satu teknik seni jahitan yang sudah dikenali sejak dari zaman dahulu lagi. Disebabkan masalah kekurangan bahan mentah ketika itu dan menjimatkan wang, kaedah ini telah digunakan untuk memperbaharui pakaian lama menjadi selimut. 
  2. Applique - merupakan satu kaedah hiasan pakaian dengan teknik tampal kain dan dijahit sulam di sekeliling tepi motif atau corak. Ia merupakan satu teknik kitar semula kain dan menjimatkan wang kerana ia menggunakan perca-perca kain yang kecil. Teknik ini juga boleh memperbaharui artikel-artikel lama menjadi baru. Ianya kelihatan cantik dan unik.
  3. Quilting - "Quilt" ialah tindihan dua hingga tiga lapisan fabrik dengan jahitan tangan atau mesin. Ia bertujuan untuk mencantum atau melekatkan fabrik dan batting supaya artikel tersebut boleh menjadi lebih tebal dan juga menjadikan artikel tersebut timbul atau bercorak. Kebiasaannya lapisan atas ialah cantuman atau patchwork atau applique atau kepingan kain besar berbentuk satu bunga rekaan. Lapisan tengah ialah batting manakala lapisan bawah ialah fabrik alas belakang.
  4. Smocking - merupakan satu teknik sulaman yang menghasilkan kedutan pada fabrik secara teratur dan anjal. Kebiasaannya smocking digunakan pada bahagian atas baju dan ditambah dengan sulaman benang yang berasaskan pelbagai motif seperti geometri, flora dan fauna.
  5. Sulaman - bertujuan untuk menghias kain atau projek hasil jahitan. Sulaman pada zaman kuno dibuat secara manual dengan menggunakan tangan manusia. Dengan adanya teknologi yang semakin canggih, sulaman pada masa sekarang dibuat dengan menggunakan mesin berkomputer sahaja.

Jumaat, 14 November 2014

Mari Belajar Asas Jahitan Tangan

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Sudahkah anda memiliki kotak jahitan berserta alatan dan bahan di dalamnya seperti yang telah saya kongsikan pada entri yang lepas? Jika sudah, jom kita mulakan aktiviti jahitan kita. Berikut adalah perkara asas di dalam aktiviti jahitan tangan yang wajib kita tahu. Ambil jarum dan benang terlebih dahulu! Gunting benang lebih kurang 18 inci panjang (jika untuk jahitan selembar benang) atau dua kali ganda panjang (jika untuk jahitan dua lembar benang). Kebiasaannya kita menjahit menggunakan selembar benang sahaja. Jahitan dua lembar benang bertujuan untuk menjadikan jahitan lebih kuat atau untuk menjadikan jahitan tersebut kelihatan di atas fabrik. Kenapa mesti 18 inci panjang? Kerana ia adalah panjang yang sesuai untuk memudahkan aktiviti jahitan tangan dilakukan supaya benang tersebut tidak kusut dan berbelit ketika menjahit. Jika anda tiada pembaris untuk mengukur, tidak mengapa. Ukur dari hujung jari tengah anda hingga ke paras siku. Panjangnya lebih kurang 18 inci.


Bagaimana hendak memasukkan benang ke lubang jarum?
Ambil benang yang telah digunting tadi dan masukkan ke lubang jarum. Anda mungkin merasa sukar untuk memasukkan benang tersebut ke lubang jarum memandangkan lubang jarum itu sangat halus. Jika telah mencuba berkali-kali tetapi masih juga tidak berjaya, jangan berputus asa. Gunting hujung benang yang telah mengembang atau berjurai itu dan cuba masukkan lagi sehingga berjaya. Berikut saya kongsikan beberapa tips yang boleh membantu anda:-
  • pegang jarum di hadapan sesuatu yang berwarna putih untuk memudahkan anda melihat lubang jarum; atau
  • basahkan lubang jarum dengan membasahkan jari anda terlebih dahulu, kemudian basahkan lubang jarum untuk membantu melekatkan benang ke lubang jarum. Jangan basahkan lubang jarum dengan memasukkan jarum ke dalam mulut anda!; atau
  • basahkan hujung benang, kemudian masukkan benang yang telah dibasahkan ke lubang jarum; atau
  • gunakan mata nenek (needle threader). Ini adalah kaedah yang paling mudah dan cepat.

Bagaimana hendak membuat simpulan mati pada benang?
Setelah benang berjaya dimasukkan ke lubang jarum, hujung benang tersebut mesti diikat simpul mati agar jahitan tidak terbuka setelah dijahit. Untuk jahitan selembar benang, setelah benang dimasukkan ke lubang jarum, tarik satu bahagian benang tersebut sepanjang 1/3 daripada panjang benang tadi dan ikat simpul mati di hujung bahagian benang yang 2/3 panjang. Manakala untuk jahitan dua lembar benang pula, setelah benang dimasukkan ke lubang jarum, jadikan kedua-dua bahagian benang tersebut sama panjang dan ikat simpul mati di hujung benang tersebut. Terdapat dua cara untuk membuat simpulan mati pada benang:-

Cara 1
Buatkan bentuk bulatan, masukkan hujung benang yang terkeluar melalui bulatan tadi dan tarik hujung benang tersebut sehingga menjadi simpulan mati.




Cara 2
Ambil hujung benang dan lilitkan antara tiga hingga lima lilitan di hujung jarum. Pastikan lilitan tersebut tidak terlalu ketat. Sambil memicit lilitan tadi (jangan terlalu kuat supaya lilitan tersebut boleh melepasi lubang jarum), tarik jarum ke atas sambil menarik lilitan tersebut ke bawah hingga ke hujung benang sehingga menjadi simpulan mati.




Bagaimana hendak menyembunyikan simpulan benang pada fabrik?
Pastikan apabila kita memulakan jahitan, simpulan mati pada benang disembunyikan di sebalik lipatan fabrik di hujung permulaan jahitan.


Sekarang, anda telah boleh mulakan aktiviti jahitan anda! Selamat menjahit.

Ahad, 26 Oktober 2014

Mata Jahitan Asas

Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim

Teks: Nurul Nisa Yahaya

Jahitan terbahagi kepada dua jenis. Jahitan tangan dan jahitan mesin. Walaupun sekarang kita sudah menggunakan mesin untuk menjahit, tetapi jahitan tangan masih lagi diperlukan. Antara kegunaan jahitan tangan adalah seperti untuk membaiki pakaian, memulakan proses jahitan dan membuat kemasan akhir. Terdapat lapan jenis mata jahitan asas untuk jahitan tangan.

#1  Jahitan kia
  • Memulakan dan mematikan jahitan tangan.
  • Melekatkan dua atau lebih lapisan fabrik.
  • Menjahit kelim yang meretas.
  • Boleh menggantikan jahitan mesin.


#2  Jahitan jelujur halus
  • Membaiki kelepet meretas.
  • Boleh menggantikan mata jahitan mesin.
  • Menjadi jahitan perhiasan pada artikel.


#3  Jahitan sembat
  • Menetapkan dan mengemaskan kelepet.
  • Mata jahitan ini boleh dilihat di sebelah luar fabrik.


#4  Jahitan lilit kemas
  • Mengemaskan guntingan tepi fabrik.
  • Mencantumkan dua keping fabrik.
  • Menjahit butang katup, cangkuk dan palang.


#5  Jahitan lubang butang
  • Jahitannya kukuh dan kemas.
  • Menjahit lubang butang, butang katup, cangkuk dan palang.


#6  Jahitan silang pangkah
  • Menjahit kelepet, lapik, mengemaskan pita zip dan sebagai jahitan hiasan.


#7  Jahitan insang pari
  • Mengemaskan tepi fabrik dan sebagai jahitan perhiasan untuk menjadi motif.
  • Mutu jahitannya boleh dilihat pada kedua-dua belah fabrik.


#8  Jahitan sembat susup
  • Menjahit dan mengemaskan kelepet.
  • Digunakan pada lipatan lengan baju, kelepet skirt serta blaus.


Sumber: Buku Teks Kemahiran Hidup Tahun 5 Sekolah Kebangsaan